Berikutan peningkatan sekatan jalan raya sepanjang pandemik COVID-19, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhasrat menambah kemudahan logistik dengan penggunaan teknologi solar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, selain ianya praktikal, murah dan mudah, teknologi itu boleh dijadikan aset di setiap balai Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Teknologi ini amat berguna sekiranya dapat dibekalkan kepada setiap balai PDRM untuk kemudahan pelbagai guna, bukan sahaja untuk sekatan jalan raya, Bahkan ia boleh dimanfaatkan untuk kegunaan yang selain waktu SJR.

“Salah satunya contoh terputus bekalan elektrik di balai. Sungguhpun terdapat genarator, saya melihat penggunaan solar ini lebih efisien, paling praktikal, mudah disimpan dan murah,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Kunjung Hormat Bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, yang diadakan di Hotel Mutiara Johor Bahru, di sini.

Beliau turut menzahirkan hasrat untuk berbincang dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad dan Kop Mantap Berhad (KMB) bagi mendapatkan teknologi solar itu yang dibekalkan oleh syarikat Munawwareen Holdings Sdn Bhd.

“Kita akan mengadakan satu pertemuan dengan KOP Mantap Berhad dan pihak pembekal untuk membuat pembentangan, perbincangan, demo dan kita akan pertimbangkan keperluan ini, seterusnya membentangkan bajet kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya lagi.

Terdahulu, sebelum majlis makan malam itu, satu program Lawatan Kerja KOP MANTAP Berhad Ke Kontinjen Zon Selatan (lmembabitkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor diadakan.

Hadir sama, Pengarah EPU, Datuk Yatimah Sarjiman; Ketua Pegawai Eksekutif KOP Mantap Berhad, Dato’ Mohamad Asri Haris dan Pengerusi KOP Mantap Berhad, Dato’ Seri Ayob Yaakob.

Munawwareen Holdings Sdn Bhd, juga merupakan salah satu penaja utama lawatan berkenaan, turut membekalkan keperluan seperti pelitup muka dan air mineral kepada petugas barisan hadapan.