Selepas diberikan peluang menguji peranti terbaharu Samsung S21 pada awal Februari lalu, kini tiba masanya menguji pula peranti paling hebat dengan spesifikasi terbaik antara ketiga-tiga siri S21 yang dilancarkan pada tahun ini.

Tentu sekali abang sulung memiliki kelebihan tersendiri dan harganya pun boleh tahan!. Ini kerana melihat kepada rekabentuk luaran yang mana badannya diperbuat daripada Gorilla Glass menonjolkan ciri yang lebih premium dan lebih tahan lasak.

Samsung Galaxy S21 Ultra hadir dengan skrin 6.8-inci berukuran 75.6 x 165.1 x 8.9 millimeter, WQHD+ Dynamic AMOLED 2x, dijana cip Exynos 2100, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 5000mAh.

Rekaan luaran

Sebagaimana model S21, peranti ini juga menerima sentuhan rekaan baharu Contour Cut Design apabila bahagian bingkai dan bonggol kamera kini bercantum.

Bagaimanapun, bonggol kamera pada siri Ultra lebih besar dan menonjol namun disebabkan peranti yang diuji berwarna hitam Phantom, bonggol itu kelihatan tidak terlalu ketara namun dapat sepadan dengan saiz badannya dan selesa apabila digenggam.

Paling ketara pada peranti ini bukannya sahaja saiznya besar tetapi beratnya iaitu 229gram yang mungkin sedikit membebankan kocek seluar anda tetapi dengan ciri dimiliki memberikan satu kepuasan memilikinya.

Kamera hebat

Sudah namanya Ultra tentu sekali peranti ini dilengkapi sistem kamera paling hebat di dunia setakat ini. Banyak penambahbaikan dilakukan pada siri S21+ Ultra kali ini.

Peranti ini dilengkapi dengan kuad-kamera belakang gabungan 108MP + 12MP + 10MP + 10MP, sementara kamera swafoto 40MP. Konfigurasi kamera pada Galaxy S21+ Ultra 5G kali ini adalah berbeza berbanding tahun lalu kerana penggunaan dua sistem lensa telefoto.

Satu lensa telefoto memberikan zoom optikal sehingga 3X manakala satu lagi memberikan zoom optikal sehingga 10X dengan mekanisme periskop.

Menerusi sistem periskop yang sama, zoom digital Space Zoom mampu merakam gambar sehingga 100X iaitu gambar zoom yang lebih baik dan stabil berbanding model S20 Ultra sebelum ini.

Ini kerana S21 Ultra kali ini dipadankan dengan sistem Zoom Lock bagi memberikan zoom yang stabil seperti menggunakan tripod walaupun pada tetapan zoom tertinggi. Hasil gambar ini dapat dilihat dibawah apabila penulis merakam gambar bucu Menara Berkembar Petronas KLCC dan gambar kren pada Menara Kuala Lumpur.

Gambar masih kelihatan tajam sehingga 10X dan apabila zoom 30X kualiti gambar masih lagi baik tetapi mula menunjukkan sedikit kurang tajam pada gambar yang diambil menggunakan zoom 100X tetapi objek yang dirakam masih dapat dikenali.

Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada jenis gambar yang mahu dirakam. Ketika peranti ini diuji untuk merakam nombor plat kenderaan didalam bangunan pada zoom 100X dapat dilihat jelas namun hasilnya amat memadai jika objek yang dirakam adalah bangunan atau sesuatu yang statik.

Ciri pada sistem kamera Ultra ini dilengkapi sensor 108MP dengan lensa sudut lebar, 12MP dengan lensa ultra sudut lebar, 10MP dengan lensa telefoto optikal 3X dan 10MP lagi dengan lensa telefoto 10X optikal periskop yang menyokong zoom sehingga 100X.

Nampak gayanya peranti baharu ini yang dilengkapi ciri kamera hebat ini boleh digunakan oleh mana-mana penyiasat persendirian untuk mengintip. Paling menarik ialah apabila rakaman video juga menawarkan zoom sehingga 20X dan hasilnya video kelihatan lebih stabil serta tajam.

Boleh guna S-Pen

Samsung kali ini seolah-olah mahu mengangkat martabat Ultra dengan menawarkan ciri sokongan kepada stylus S Pen seakan peranti siri Galaxy Note dan Tab S7. Sokongan S Pen pada peranti ini adalah yang pertama kali diperkenalkan dalam siri telefon pintar Galaxy S.

Kelainan kali ini ialah Samsung menawarkan S Pen biasa tanpa bluetooth. Bagaimanapun, S Pen tidak diberikan dengan setiap pembelian S21 Ultra. Kena beli secara asing pada harga RM189.

Jadi, anda boleh menggunakan S Pen ini untuk tujuan apa sahaja seperti mengedit gambar, rakaman video mahupun menulis pada skrin peranti ini dengan mudah.

Untuk memenuhi keperluan pengguna, Samsung juga menawarkan dua kerangka khas dengan tempat simpanan S Pen secara terbina.

Bateri

Peranti ini dipadankan dengan kuasa bateri 5000 mAh dan daripada segi pengecasan pula, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 25W, nirwayar 15W dan Wireless PowerShare (boleh berkongsi bateri dengan peranti lain yang dipadankan dengan ciri ini).

Samsung masih belum bersedia memberikan sistem pengecasan yang lebih pantas untuk siri Galaxy S tahun ini. Seperti pada S21 dan S21+, S21 Ultra juga tidak dijual dengan pengecas serta fon kepala di dalam kotak. Hanya sebuah kabel USB-C ke USB-C sahaja disertakan.

Dari segi sambungan selular pula, rangkaian 5G Sub 6 boleh digunakan dan spesifikasi lain ialah pembesar suara UWB, Dolby Atmos, WiFi 6E, bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.

Penambahbaikan kepada ciri Nearby Share turut dilakukan. Apabila dipilih pengguna boleh memilih untuk membuang data meta pada gambar yang ingin dikongsi.

Proses membuang data meta adalah semudah menekan butang pilihan sebelum penghantaran Nearby Share dilakukan. Ciri ini lebih mudah berbanding menghantar gambar atau video menerusi bluetooth.

Video animasi untuk latar belakang panggilan individu tertentu juga boleh dihasilkan menerusi sistem AR Emoji.

Ciri lain yang kembali ialah Edge Panels, DeX, sokongan Your Phone pada Windows 10, Multi Window dan Always On Display.

Kombinasi pemproses yang berkuasa pada Ultra ini turut menawarkan saiz RAM yang besar dan skrin 120Hz memberikan pengalaman penggunaan awal yang amat lancar.

Kesimpulan

Menguji peranti Samsung Galaxy S21 Ultra selama tiga minggu ini, pengguna dapat berasakan banyak penambahbaikan telah dilakukan khususnya ciri kamera dan rakaman video.

Peranti ini cukup selesa dipegang dan bonggol kamera juga tidak terlalu menonjol sesuai dengan ciri premiumnya pada tanda harga lebih RM5000.

Bagaimanapun, sedikit kecewa apabila kali ini, dengan setiap pembelian set Samsung S21 ini tidak disertakan dengan set pengecas dan fon telinga dalam kotaknya tetapi hanya kabel disediakan selain tiada sokongan kad mikro-SD tetapi diberikan kapasiti storan sebesar 256GB.

Selain itu, sedikit kelemahan yang penulis alami ialah peranti ini juga menjadi memanas apabila menggunakan kamera dalam masa lama dan masalah sama juga pernah dialami pada model Samsung S20 yang lalu. Diharapkan ciri ini boleh diperbaiki pada model-model akan datang.

Ciri menarik lain ialah Samsung S21 Ultra ini dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit namun dinasihatkan tidak menggunakan telefon ini di kolam atau pantai.

Spesifikasi Samsung Galaxy S21+ Ultra 5G:

  • 6.8″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+, 120Hz, HDR10+
  • Samsung Exynos 2100 5nm
  • Samsung One UI 3.1 + Android 11
  • 12/16GB LPDDR5
  • 256/512GB UFS 3.1
  • 5000mAh Fast Charging 25W
  • Kamera belakang: 108+12+10+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9, Zum 100X, Ultra sudut lebar, OIS
  • Kamera depan: 40MP Dual Pixel AF f/2.2
  • Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik, pembesar suara stereo AKG Dolby Atmos, IP68
  • Warna: Phantom Black, Phantom Silver
  • Harga:  RM5299 (12/256GB) / RM5899 (16/512GB)