Ramai yang tertunggu-tunggu untuk menguji model kenderaan ini ketika ia mula diperkenalkan pada Oktober tahun lalu namun disebabkan berlakunya pandemik COVID-19, semua perancangan terpaksa ditangguhkan.
Bagi penulis, melihat kepada rekabentuk luarannya boleh diumpamakan sebagai ‘jatuh cinta pandang pertama’. Ini bukannya nak memuji keterlaluan tetapi memang secara realitinya ada satu tarikan yang menyebabkan Mitsubishi XPANDER ini menjadi bualan.
Ini kerana rekabentuknya tidak terhad kepada rupa hadapannya tetapi membawa sehingga ke bahagian belakang yang cukup berbeza berbanding model sekelas dengannya selari dengan maksud namanya XPANDER (yang boleh mengembang).

Boleh dikatakan rekaan XPANDER ini jika dilihat secara kasar menggabungkan DNA sebuah pikap Mitsubishi Triton khususnya rekaan bamper hadapannya dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk. Jadi lahirlah ciri sebuah crossover yang cukup praktikal untuk kegunaan masa kini.
Luaran
Mengikut maklumat dari Mitsubishi, rekaan luaran XPANDER ini dianggap serba baharu bercirikan futuristik berkonsepkan ‘Perisai Dinamik’ (Dynamic Shield), yang digabungkan di dalam setiap kereta baru yang dilancarkan oleh Mitsubishi.
‘Perisai Dinamik’ menzahirkan prestasi tinggi dan rasa dilindungi untuk penumpang dan pejalan kaki.
Rekaan bamper hadapannya lebih besar dan menonjol manakala lampu utama kelihatan lebih tirus dengan sedikit elemen sporty dipertaruhkan.

XPANDER didatangkan dengan lampu posisi, lampu hadapan LED, kabus dan nyalaan siang (DRL), lampu belakang dengan pencahayaan bentuk L daripada LED.
Kenderaan ini juga dilengkapi rim roda aloi dua tona bersaiz 16 inci dan dengan jarak kelegaan tanah 205 mm, kenderaan ini boleh dipandu melalui laluan lasak yang minima atau jalan-jalan kampung yang mencabar.
Jadi, anda yang mahu memandu pulang ke kampung dan terpaksa meredah laluan yang tidak rata atau becak tidak perlu bimbang.
Dalaman
Di bahagian dalaman, XPANDER menjadi yang terbaik di dalam kelasnya dengan keseluruhan tinggi 1,730mm dan panjang keseluruhan 4,475mm. XPANDER baharu ini memiliki jarak roda 2,775mm dan lebar 1,750mm yang menawarkan lebih banyak ruang kaki untuk semua penumpang.

XPANDER adalah satu-satunya kereta di dalam kelasnya yang boleh melipat rata kerusi bahagian kedua dan ketiga bagi memberi ruang barang yang penuh dan but menyerupai kereta yang menjadikan ia lebih mudah untuk mengangkut barangan besar atau panjang.
XPANDER juga dilengkapi banyak ruang simpanan di bawah kerusi, kotak simpanan pada lantai kargo dilengkapi lampu, poket sisi barisan duduk ketiga dan pemegang botol, kotak konsol tengah dengan lampu, pelbagai kotak barangan dan kotak sarung tangan dua bahagian untuk menyimpan segala barangan yang diperlukan untuk perjalanan hujung minggu yang sempurna selain pengecas USB.
Malahan, XPANDER juga didatangkan dengan empat corong udara dipasang menerusi bumbung bagi edaran udara lebih baik ke atas setiap penumpang belakang yang menjamin penyejukan lebih pantas pada hari yang panas.
Untuk hiburan, XPANDER dipasang sistem Audio dengan skrin bersaiz 9-Inci bersama sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto Ready.

Enjin
XPANDER ini dikuasakan enjin petrol 1.5-liter MIVEC menggunakan blok aluminium yang menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm.
Kenderaan ini didatangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan yang mengoptimumkan kuasa dan penjimatan bahan api. Isian penuh 45 liter bahan api mampu menjangkau jarak lebih 400 km.
XPANDER juga dilengkapi kluster meter berkontras tinggi 4.2 inci yang memaparkan maklumat penting seperti tolok suhu penyejukan enjin, dan amaran bagi kawalan luncur atau bateri lemah di dalam kunci kereta.

Keselamatan
Ciri-ciri keselamatan lain adalah dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Edaran Tenaga Brek Elektronik (EBD), Kawalan Aktif Stabiliti (ASC), Sistem Bantuan Brek (BA), Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Sistem Mengatasi Brek (BOS) dan banyak lagi.
Melalui pakej pengedar MMM, ia juga didatangkan dengan Perakam Video Pemanduan (DVR), kerusi kulit dan Paparan Keseluruhan Persekitaran dengan garisan panduan.
Mitsubishi XPANDER mula diperkenalkan untuk pasaran Indonesia pada 2017, yang kemudian memasuki pasaran Thailand, Filipina, Vietnam dan kini di Malaysia.
Untuk pasaran Malaysia XPANDER dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang serta didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Model ini hanya didatangkan dengan satu varian serta empat pilihan warna iaitu Kelabu Titanium Metalik, Hitam Berlian, Putih Quartz dan Merah Metalik.
Kesimpulan
Meskipun XPANDER dibekalkan dengan enjin 1.5 liter MIVEC , kuasa pecutannya tidak menghampakan apatah lagi jika dikerah ketika melalui laluan berbukit mahupun ketika memecut di lebuh raya.
Dalam kelebihan rekaan badannya yang tinggi dan besar, kenderaan ini dilihat amat praktikal dengan gaya hidup masa kini seperti mereka yang sedang mencari sebuah kenderaan untuk keluarga atau mahukan sebuah jentera yang mampu memenuhi citarasa seperti peminat basikal yang tegar.
Ruang dalaman yang menawarkan banyak ruang simpanan barangan menjadikan simpanan barangan anda lebih tersusun dan tidak bersepah-sepah.

Rekaan hadapan dengan lampu LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus cukup menunjukkan gaya signatur Mitsubishi.
Selain itu, corong penyaman udara untuk penumpang belakang menjadi satu pelengkap kepada iklim Malaysia yang panas.
Bagaimanapun, ada dua perkara yang mungkin boleh diperbaiki pada model XPANDER yang akan datang ialah memasang perehat tangan khususnya untuk pemandu dan mungkin boleh menukar jenis brek tangan kepada brek kaki yang akan kelihatan lebih kemas.

Ini kerana rekaan brek tangan bagi model ini kelihatan agak besar dan ketara. Namun Mitsubishi sendiri mempunyai alasan tertentu untuk menggunakan brek tangan.
Selain itu, penulis juga mencadangkan agar ruang bonet belakang dipadankan dengan lampu bagi keselesaan pengguna.
Harga
Mitsubishi XPANDER dijual pada harga RM91,359 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.





















































































