DPVM mohon Kerajaan Malaysia mengiktiraf kajian Public Health England berkenaan bukti terkini mengenai vape nikotin.

Dewan Perniagaan Vape Malaysia hari ini memohon Kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf kajian terkini yang diterbitkan baru-baru ini oleh Public Health England (PHE) ke atas vape nikotin dan meletakkan peraturan yang progresif untuk industri vape di Malaysia. 

Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Azaudin Syed Ahmad berkata, pihaknya percaya terdapat beberapa aspek yang Kerajaan Malaysia boleh ambil daripada kajian PHE yang merupakan agensi kesihatan awam utama di UK.

Ini terutamanya berkaitan dengan strategi untuk mengurangkan kadar merokok di Malaysia melalui vape nikotin supaya pengguna mempunyai akses kepada produk yang kurang mudarat, dimana vape telah dibuktikan sebagai alat untuk perokok berhenti merokok. 

“Malaysia perlu mengiktiraf bukti-bukti yang telah dijumpai, khususnya bukti yang menunjukkan vape sebagai alat yang berkesan dalam mendorong perokok untuk berhenti dan pada masa yang sama merendahkan risiko kesihatan.

Laporan terkini daripada Public Health England (PHE) ini bukan sahaja mengesahkan semula bahawa kesan vape ke atas kesihatan ialah 95% kurang mudarat berbanding rokok tradisional malah ia telah membantu lebih daripada 50,000 perokok di England untuk berhenti merokok dalam setahun,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut laporan PHE tersebut yang dijalankan oleh penyelidik di King’s College London, vape nikotin ialah produk paling popular yang menjadi pilihan untuk bantu berhenti merokok di England pada tahun 2020 berbanding terapi penggantian nikotin. 

Klik untuk baca laporan PHE > https://www.gov.uk/government/news/vaping-better-than-nicotine-replacement-therapy-for-stopping-smoking-evidence-suggests

Hasil laporan itu juga menyokong kajian yang sedia ada sekaligus mengukuhkah bukti tentang betapa pentingnya vape dalam usaha membantu perokok berhenti merokok. 

Satu kajian oleh Action on Smoking and Health (ASH), badan NGO berkenaan dengan kawalan tembakau di UK, telah menjumpai bahawa 58.9% daripada penghisap vape di Great Britain ialah bekas perokok, dan golongan ini bertambah dari tahun ke tahun.

Tambahan juga, the University College of London Smoking Toolkit Study yang menyumbang kepada data bulanan tingkah laku perokok dan langkah kawalan tembakau juga menunjukkan hubungan jelas antara kadar perokok berhenti merokok dengan peningkatan penggunaan vape.

Di Malaysia, satu kajian yang dijalankan oleh DPVM bertajuk “Kajian Industri Vape Malaysia” menunjukkan 94% daripada pengguna vape di Malaysia mempunyai sejarah menghisap rokok, dan faktor yang tertinggi yang diberikan pengguna untuk beralih kepada vape ialah dengan hasrat untuk berhenti merokok (57%) dan kerana ia kurang mudarat berbanding menghisap rokok (56%). 

“Selain telah dibuktikan sebagai alat yang efektif untuk berhenti merokok, Malaysia juga wajar mengiktiraf industri vape sebagai sebuah industri yang berdaya maju, sedang berkembang dan mampu menyumbang kepada ekomomi tempatan.

“Berdasarkan kepada laporan terkini kami, industri vape kini bernilai RM2.27 billion, sekaligus mengesahkan bahawa industri vape Malaysia mempunyai potensi yang ketara yang boleh dicapai dengan adanya peraturan yang praktikal dan komprehensif,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di https://vapemalaysia.org/ atau laman Facebook kami di https://www.facebook.com/DewanPerniagaanVapeMalaysia.