PENGERUSI NGO Antarabangsa/Yayasan Seaweed Malaysia, Datuk Dr Mustapa Ahmad Merican bertindak mengadakan kerjasama dengan syarikat yang menjalankan kerja-kerja industri berat iaitu kren bagi kegunaan di pelabuhan, kilang, bangunan, jambatan dan sebagainya di kawasan perindustrian minyak Petronas.
Beliau berkata, kehadiran Petronas berjaya melahirkan ramai usahawan industri tenaga dan industri lain khususnya di kalangan Bumiputera.
“Justeru, golongan Bumiputera perlu merebut peluang ini sebaik mungkin kerana syarikat Bumiputera yang bekerja keras dan berdaya saing boleh maju dalam bidang ini serta perlu membukti kemampuan masing-masing apabila menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Katanya, setiap syarikat juga mempunyai Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) kepada masyarakat jadi mereka perlu ada rasa ingin turut menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.
“Mereka boleh menyumbang terus kepada persatuan Rumah Anak-anak Yatim, rumah orang-orang tua, pusat tahfiz atau kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain pusat yang terpilih,” katanya ketika mengadakan perbincangan dengan Pengerusi ZHi Technical Engineering Services Sdn Bhd, Mohd Saupe Abu Bakar di kawasan Perindustrian Pulau Serai Dungun Terengganu.
Turut hadir 30 pekerja dengan SOP yang ketat mengikut peraturan KKM/MKN dan SOP Keselamatan industri Berat berkaitan dengan industri tenaga.
Mustapha turut berharap lebih banyak syarikat yang mendapat pekerjaaan atau kontrak pada waktu yang sukar ini memberikan sedikit sumbangan kepada mereka yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.

“Justeru, syarikat yang masih boleh bangkit waktu sukar ini perlu bersyukur walaupun pendapatan tidak begitu besar tetapi kita perlu ingat mereka di luar sana begitu ramai yang hilang pekerjaan.
“Ada yang terpaksa menutup kilang dan ada yang terpaksa mengecilkan operasi syarikat termasuk memotong separuh gaji bagi kakitangannya. Inilah cabaran dan dugaan yang perlu kita ambil sebagai pengajaran dan teladan pada masa depan iaitu beringat pada waktu senang,” katanya.
Mustapa berkata, seharunya kita mempunyai sifat ingin membantu dengan berkongsi sedikit pendapatan mengikut kemampuan kepada mereka yang memerlukan pada waktu yang sukar ini.
“Menerusi cara ini, dapat meringankan beban mereka yang terkesan sekali gus membantu kerajaan yang juga terbeban dengan kesan kejatuhan ekonomi akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya lagi.




































