Penampilan beberapa model varian R-Line seperti VW Golf R-Line yang pernah diperkenalkan oleh Volkswagen sebelum ini memberikan inspirasi kepada Volkswagen Malaysia mengetengahkan varian R bagi model-model lain.

Rangkaian R-Line direka untuk pemandu yang ingin menyerlahkan individualiti dan mahukan sebuah jentera lebih sporty, serta mempunyai nilai hebat.

Model sedan dinamik itu didatangkan dengan kemasan luaran dan dalaman yang meningkatkan lagi penampilan secara keseluruhannya.

Paling mudah dilihat ialah logo R pada gril hadapan, lencana R-Line pada bahagian sisi, kekemasan krom di sekeliling badan kereta, gril hitam pada bamper hadapan dan rim aloi Verona bersaiz 19 inci.

Untuk ruang kabin pula, kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas pada tempat duduk dan stereng yang dibalut kulit Nappa gayaan karbon berwarna hitam, pedal sports aluminium serta kemasan dalaman bumbung hitam.

Selain itu juga, kemasan karbon dapat dilihat pada ruang dalaman khususnya pada papan pemuka dan sisi pintu.

Pengalaman pemanduan ditingkatkan dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Selection yang membolehkan pemandu menukar serta memilih 15 gaya pemanduan mengikut kecenderungan mereka.

Sama seperti semua model Volkswagen, aspek kemudahan dan keselesaan tidak diabaikan.  Ciri-ciri seperti Digital Cockpit boleh ubah dan App-Connect Apple Car Play tanpa wayar menawarkan ketersambungan pantas buat pemandu.

Apa yang menarik apabila melangkah masuk ke ruang dalaman ialah tempat duduk hadapannya dipadankan dengan kerusi ErgoComfort dengan 14 tetapan yang dibalut oleh kulit Nappa gayaan karbon. Tempat duduk pemandu juga hadir dengan fungsi urutan dan memori.

Kehadiran model Passat R-Line menggabungkan ciri sebuah kereta sedan yang lebih sporty, garang tetapi penuh dengan ciri-ciri eksklusif dalaman dan luaran.

Luaran

Passat R-Line hadir dengan penampilan lebih mantap. Terima kasih kepada bampar hadapan baharu yang agresif, lengkap dengan lencana R-Line pada grilnya.

Satu lagi kemasan tersendiri R-Line boleh dilihat dengan jelas pada bampar belakang, lencana R-Line dan kemasan krom pada bahagian sisi sedan ini.

Profil rugged jentera ini ditingkatkan lagi menerusi rim aloi Verona baharu bersaiz 19 inci.
Signatur model Volkswagen diserlahkan menerusi sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan atau gaya dinamik dan rekaan tiga sayap untuk lampu belakang.

Semua itu jelas melengkapkan penampilan keseluruhannya sebuah kereta sedan yang mungkin disasarkan kepada golongan eksekutif muda mahupun mereka yang mungkin bergelar ‘CEO’.

Dalaman

Bahagian dalaman Passat R-Line lebih menonjol berbanding pesaingnya dengan kemasan dan material baharu. Ini termasuklah kemasan dekoratif Dark Diamond Flag baharu dan bumbung hitam agar kelihatan lebih premium.

Identiti R-Line dapat dilihat dengan jelas pada tempat duduk, kemasan kulit stereng multi-fungsi yang lengkap dengan paddle shift dan butang yang ergonomik.

Di samping pedal sport serta plat pelindung hadapan dan belakang aluminium. Nilai estetika ruang kabin disempurnakan dengan fungsi lampu ambien yang membolehkan pemandu memilih daripada 30 warna.

Semua tetapan ini boleh dikawal sepenuhnya pada butang stereng iaitu di kiri atau kanan. Anda hanya perlu mengambil masa singkat untuk menyesuaikan diri mana satu butang yang mahu dikawal.

Enjin dan Prestasi

Di bawah hud, Passat R-Line menggunakan enjin turbo 2.0TSI baharu. Dipadankan dengan kotak gear direct shift (DSG) klac basah tujuh kelajuan baharu serta telah ditambah baik, ia mampu menjana kuasa 190PS dan tork 320Nm untuk pengalaman pemanduan yang benar-benar dinamik.

Penjimatan bahan api Passat R-Line cukup mengagumkan dengan anggaran sekitar 6.5l/100 km, berdasarkan kepada data pemanduan dalam dunia sebenar yang digariskan oleh pihak WLTP (Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Seluruh Dunia).

Untuk pemanduan mengujakan, Passat R-Line baharu didatangkan dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan pilihan sehingga 15 peningkatan.

Dengan ciri Driving Mode Selection (DMS), pemandu boleh memilih corak pemanduan yang
disukai sama ada Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual yang boleh diubah suai.

Daripada segi prestasi, kuasa enjin ini memang tidak menghampakan manakan tidak suntikan turbo Passat ini bertindak responsif setiap kali pedal minyak ditekan seperti ‘seekor kuda liar’ yang terlepas dari kandang.

Pilihan warna untuk ruang dalaman

Infotaimen

Passat R-Line ini menawarkan ketersambungan pintar di hujung jari anda. Digital Cockpit bersaiz 11.7” baharu dan telah ditambah baik menawarkan kejelasan yang luar biasa, terima kasih kepada paparan warna transistor filem nipis (TFT) beresolusi tinggi yang sama seperti telefon pintar premium.

Jika model terdahulu kita dapat melihat panel-panel plastik di sekeliling panel meter kokpit namun kali ini ia kelihatan besar dan boleh diubah mengikut kesesuaian.

Lampu ambien itu yang boleh dikawal tahap pencahayaannya juga dinyalakan pada sistem infohibur dan Digital Cockpit. Paparan panel skrin meter juga boleh ditukar sebanyak tiga pilihan sama ada paparan info kenderaan mahupun paparan sepenuhnya.

Ia menawarkan pelbagai fungsi, selain memaparkan grafik 2D dan 3D untuk tujuan navigasi serta media. Enam pandangan skrin boleh ubah pula menawarkan aspek personalisasi ke satu tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi warna lampu ambien.

Segala tetapan untuk lampu dan bahagian dalaman pula boleh dikawal pada paparan skrin digital sesentuh yang terletak ditengah-tengah papan pemuka kereta ini.

Sistem infotainmen jelas mengagumkan – skrin sentuh bersaiz 9.2 inci itu kini lebih mudah dioperasi dengan kawalan suara, gestur dan skrin pandangan yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Pada model sebelum ini, tombol pada skrin digital sesentuh itu jelas kelihatan namun kali ini, skrin berkenaan rata sepenuhnya sekali gus tampil kelihatan elegan dan eksklusif.

Ciri AppConnect tanpa wayar dengan Apple CarPlay turut ditawarkan pada Passat buat pertama kalinya di Malaysia.

Ketersambungan Digital Cockpit bersaiz 11.7” menawarkan tahap kejelasan terbaik menerusi paparan warna beresolusi tinggi seperti sebuah telefon pintar premium.

Skrin itu menawarkan enam pandangan skrin boleh ubah yang diakses secara pintar di hujung jari bersama pilihan 30 kombinasi, termasuklah navigasi 2D dan 3D.

Sistem infohibur boleh diakses menerusi skrin sentuh Discover Pro bersaiz 9.2”. Navigasi sistem tersebut boleh dilakukan dengan mudah menerusi arahan suara, kawalan gestur dan skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

App-Connect boleh digunakan dengan Android Auto, Mirrorlink pula menggunakan Type C USB, selain ketersambungan Apple Car Play tanpa wayar.

Keselamatan

Volkswagen tidak pernah berkompromi dari segi keselamatan. Jadi, Passat R-Line baharu padat dengan ciri keselamatan premium. Ini termasuklah ciri Rear Cross Traffic Alert dengan julat pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter.

Ciri Side Assist pula membantu mengesan objek di kawasan titik buta sehingga 70-meter dengan jarak pengesanan 110 darjah apabila kenderaan ini bergerak.

Satu lagi ciri keselamatan penting ialah sistem Electronic Differential Lock (XDS) yang berfungsi menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah olengan (understeer).

Passat R-Line dilengkapi ciri Tyre Pressure Monitoring System baharu yang memantau tekanan setiap tayar. Manakala brek pergerakan pula akan menekan brek secara automatik untuk menghalang pelanggaran apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10km/j.

Ciri keselamatan lain yang didatangkan sebagai standard ialah Electronic Stability Control (ESC), brek anti kunci (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.

Ruang but

Ruang but Passat R-Line cukup mengagumkan iaitu seluas 586 liter. Manakala fungsi Easy Open tanpa sentuhan menggunakan sensor pada bahagian belakang untuk membuka but secara elektronik apabila mengesan pergerakan kaki pemandu di bawah bampar belakang.

Model R-Line ini turut dibekalkan dengan tayar bersaiz standard, lengkap dengan rim bersaiz 19 inci.

Sistem Bunyi

Ciri yang mengujakan apabila Passat R-Line baharu ini hadir denggan sistem bunyi Helix 300W Soundbar bernilai RM2,400. Aksesori yang perakui oleh Volkswagen ini dihasilkan oleh pakar audio hi-fi, HELIX dan dipasang di ruang penyimpanan barang kenderaan.

Soundbar itu merupakan sebuah amplifier 5 saluran dengan pemproses bunyi dan subwoofer bersepadu. Ia dilihat akan meningkatkan lagi kualiti dan kejelasan sistem bunyi Passat yang sudah sedia bagus menerusi keliberasi profail bunyi yang tepat.

Warna

Passat R-Line didatangkan dalam enam warna: warna metalik ialah biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey) dan perak (Reflex Silver). Dua warna mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) juga ada ditawarkan tanpa caj tambahan.

Harga

Passat R-Line baharu ditawarkan pada harga cadangan RM208,888 dan ia hadir bersama penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, jaminan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk 5 tahun.

Dengan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan sekarang, Passat R-Line baharu kini berharga RM203,411.18 sehingga 30 Jun 2021.

Kesimpulan

Sepanjang pandu uji ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa, model ini menawarkan banyak kelebihan bukan sahaja ruang dalaman dan but belakang yang besar dan luas tetapi turut menawarkan tahap penjimatan bahan api yang baik.

Faktor ini mungkin disebabkan rekaan badan kereta ini yang aerodinamik mampu mengurangkan pergeseran angin sekali gus menjadikan kereta ini meluncur laju di lebuh raya.

Logo R pada gril hadapan dan sisi serta bahagian dalaman menonjolkan gaya sporty sebenar kereta sedan yang sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja yang mahukan kelainan apabila memiliki sebuah jentera keluaran Jerman ini.

Jika dipandu secara berhemah tentunya memberikan lebih penjimatan dan apa yang menyeronokkan apabila memandu kereta berlogo VW ini ialah pengendaliannya adalah setanding dengan model pesaing di luar sana.

Sistem keselamatan kereta ini juga antara yang terbaik dengan dilengkapi enam beg udara keselamatan manakala ruang keselesaan penumpang belakang dipadankan dengan bidai yang boleh diturunkan pada bila-bila masa.