Loji Kuasa Trek 4A Kitar Tergabung 1,440 Megawatt milik Southern Power Generation
merupakan lokasi Turbin Gas 9HA.02 oleh GE yang pertama beroperasi secara komersil
di peringkat global.

GE (NYSE: GE), CTCI Corporation (CTCI), dan Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) telah mengumumkan permulaan operasi komersil Loji Kuasa Trek 4A milik Southern Power Generation, yang merupakan loji kuasa gas kitar tergabung 1,440 megawatt di Pasir Gudang, Johor, Malaysia.

Tapak ini akan menonjolkan ciri-ciri Loji Kuasa Kitar Tergabung 9HA.02 oleh GE yang pertama beroperasi secara komersil bermula semalam. Loji ini telah dibina dengan selamat bersama rakan kongsi EPC Taiwan, CTCI, dan terdiri daripada dua blok penjana yang mana setiap satunya dilengkapi turbin gas berprestasi tinggi, sebuah turbin stim, sebuah penjana dan sebuah Penjana Wap Pengembalian Haba (Heat Recovery Steam Generator, atau HRSG) dari GE.

Tambahan pula, suatu perjanjian bertempoh 21 tahun telah menetapkan GE untuk menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian digital bagi meningkatkan kebolehlihatan, kebolehpercayaan, dan ketersediaan loji Trek 4A – yang akan menghasilkan tenaga elektrik mencukupi untuk menguasakan kira-kira tiga juta kediaman rakyat Malaysia.

“Kami mempunyai hubungan bersama GE sejak sekian lama dan mempercayai teknologi HA mereka akan membantu kami memenuhi permintaan kuasa yang semakin meningkat di samping menyumbang kepada keperluan keselamatan tenaga jangka panjang di Malaysia,” kata Dato’ Nor Azman Mufti, Pengerusi SPG.

“Kami berbangga bagaimana GE telah beradaptasi dengan kerja keras dan kecekapan untuk mencapai permulaan operasi komersil julung kali mereka bagi turbin gas 9HA.02 meskipun ketika pandemik COVID-19 melanda tanpa mengkompromi kesihatan dan keselamatan.”

Loji terbabit mempunyai dua blok penjana aci tunggal, yang setiap satunya dilengkapi turbin gas 9HA.02 dan turbin stim STF-D650, dipandu sebuah penjana W88 serta, buat pertama kalinya untuk sebuah Loji Kelas H, dipasang dengan Penjana Wap Pemulihan Haba Sekali Lalu (Once Through Heat Recovery Steam Generator) GE, di samping menghasilkan kecekapan kitar tergabung yang lebih tinggi.

Loji ini dikawal oleh Sistem Kawalan Loji berintegrasi Mark* Vie GE. Dilengkapkan dengan Interfasa Operator tunggal dan alat pencarisilap am, kakitangan loji boleh mengendalikan loji dengan lebih cekap dan pulih kembali dengan pantas untuk meningkatkan ketersediaan keseluruhan loji andai kata timbul sebarang isu.

GE akan menyediakan penyelesaian digital dan perkhidmatan peningkatan loji berspektrum
penuh, pemeriksaan utama turbin gas 9HA.02 serta perkhidmatan nasihat teknikal.

Prestasi keseluruhan loji akan dipantau dan ditingkatkan menggunakan perisian Digital’s Predix* Asset Performance Management GE, yang mana akan membantu peningkatan kebolehlihatan, kebolehpercayaan, dan ketersediaan sambil mengurangkan kos operasi dan kos penyelenggaraan.

Tambahan lagi, data yang dikumpul dari sensor di seluruh infrastruktur akan dipantau dan dianalisis sepanjang masa di Pusat Pemantauan & Diagnostik (M&D) GE di Kuala Lumpur.

“Dengan lebih 40 tahun pengalaman operasi dan juga sebagai pangkalan terbesar pemasangan turbin gas di negara ini, GE sememangnya layak membantu memenuhi permintaan kuasa yang semakin meningkat di Malaysia,” kata Ramesh Singaram, Presiden dan CEO GE Gas Power di Asia.

“Ini menandakan satu pencapaian buat flit HA kami, sambil kami meraikan operasi komersil pertama dunia untuk turbin handalan kami di Malaysia. Kami tidak sabar untuk membantu Southern Power Generation menikmati faedah dari teknologi terkini kami di samping menggabungkan perkhidmatan dan penyelesaian digital serta membantu penghantaran
penjanaan kuasa yang lebih dipercayai dan fleksibel buat negara.”

“Dengan mengambil kesempatan atas pengalaman kami dalam EPC loji kuasa global, CTCI dan CE dengan bangganya telah mencapai lebih 10 juta masa kerja selamat dalam projek ini, satu bukti kebolehpercayaan pasukan ini.

Kejayaan bersama kedua-dua syarikat ini juga telah membuka laluan kepada usaha sama terkini lewat tahun 2020 dan telah membantu kami meraih kontrak EPC berbilion dolar untuk lima unit kuasa gas kitar tergabung di Taiwan,” kata Michael Yang, Pengerusi CTCI Corporation.

Turbin gas HA GE merupakan turbin gas terbesar dunia dan paling efisien, dengan lebih 100 unit telah ditempah oleh lebih 48 pelanggan dari 20 negara. Flit kelas H generasi kedua GE telah mengumpul sejumlah 850,000 jam operasi pengalaman komersil (sehingga Januari 2021).

Untuk mengurangkan lagi kuasa gas menggunakan pengeluaran karbon, portfolio turbin gas Kelas H GE terkini berkeupayaan membakar sehingga 50% isipadu hidrogen apabila dicampur gas asli.

*Tanda dagang General Electric Company