Ketibaan vaksin COVID-19 di negara ini dilihat mampu memberi sinar dan harapan kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih berhadapan dengan pandemik yang boleh membawa maut.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pihaknya mencadangkan agar penerima vaksin diberikan passport atau kad sebagai bukti yang boleh diterima di seluruh dunia.

“Kita tengok contoh kad penerima vaksin di United Kindgom (UK) berbentuk kad kredit dan satu lagi contoh apabila kita ke Arab Saudi menggunakan buku kuning kesihatan,” katanya selepas membuat kunjungan mesra ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Dato’ Sri Shahrul Ikram Yaakub di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk peranan dan usaha-usaha yang sudah dijalankan oleh NGO Antarabangsa sejak ditubuhkan pada tahun 1999 serta isu semasa termasuk isu mengenai pandemik COVID-19.

Mustapha yang pernah berkhidmat sebagai pegawai di Wisma Putra turut berharap Kementerian Luar Negara boleh menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh NGO Antarabangsa.

“Saya juga bersedia menjadi wakil NGO pertama di negara ini untuk disuntik dengan vaksin COVD-19 dan berharap kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah disuntik dengan vaksin ini seperti pelajar Malaysia di luar negara, ahli perniagaan atau pegawai kerajaan untuk ke luar negara.

“NGO Antarabangsa juga menyarankan agar pelawat antarabangsa yang ingin ke Malaysia perlu mendapatkan suntikan vaksin di negara masing-masing terlebih dahulu sebelum mereka diterima masuk ke negara ini agar keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

“Kita melihat saranan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai setiap penerima suntikan Vaksin COVID-19 akan diberikan Paspot vaksin bagi membuktikan mereka sudah menjalani suntikan tersebut.

“Ini bagi memudahkan mereka apabila hendak ke luar negara bagi tujuan pekerjaan belajar, pengembara dan menjalankan urusan lain,” katanya.