Rekaan yang lebih unik, tiada lagi ciri rekabentuk seumpama ‘kacang’ tapi tampil dengan gaya lebih tirus malah nampak lebih selesa memakainya.

Ini adalah fon telinga terbaharu Galaxy Buds Pro yang dilancarkan bersama-sama dengan siri model telefon pintar Samsung Galaxy S21.

Apa ciri yang menarik pada peranti yang diuji Prebiu.com kali ini ialah, ia bukan sahaja mempunyai fungsi pembatalan hingar aktif (ANC), tetapi turut mempunyai pelbagai fungsi audio yang menyeronokkan dan mudah dikawal pada aplikasi Galaxy Wearable.

Apa itu ciri pembatalan hingar aktif (ANC)?

Ciri ini memudahkan anda mendengar dengan lebih jelas dan membuang bunyi luar secara automatik.

Fungsi ini terhasil apabila fon telinga ini menggunakan tiga mikrofon iaitu dua di luar dan satu di dalam. Ciri ini mampu membuang sehingga 99% bunyi latar.

Samsung Galaxy Buds Pro ini juga boleh mengesan secara aktif apabila anda sedang bercakap, sekaligus mengawal kadar bunyi audio pada fon telinga secara automatik.

Maka anda boleh terus menggunakan fon telinga ini tanpa perlu menanggalkannya sambil bercakap dengan seseorang atau ketika anda mahu memesan makanan kegemaran anda.

Samsung turut menyertakan ciri kalis air IPX7, selain turut sesuai untuk digunakan ketika anda sedang bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan.

Sesuai untuk mereka yang bekerja dari rumah (WFH)

Pada fon telinga tanpa wayar ini, Samsung turut menekankan kepada kualiti audio dengan menyertakan woofer 11mm, selain tweeter 6.5mm.

Selain itu, sesuai dengan gaya hidup masa kini yang memerlukan anda bekerja dari rumah (WFH) apabila negara dilanda wabak pandemik COVID-19, fon telinga ini cukup sesuai bagi mereka yang perlu melakukan atau terbabit dengan panggilan video yang banyak khususnya menerusi mesyuarat secara sidang video.

Ini kerana tahap kejelasan audio yang terhasil cukup memuaskan apabila bunyi Bass dapat dirasakan dengan hebat manakala bunyi Treble pula lantang seolah-olah anda sedang berada dalam bilik kedap bunyi.

Meskipun fon telinga ini hanya bersaiz kecil namun mutu bunyi oleh AKG yang dihasilkan boleh diberikan pujian dan menerusi aplikasi Galaxy Wearable, kawalan bunyi treble dan bass boleh dikawal menerusi tetapan yang disediakan.

Dilengkapi ciri bunyi Dolby Atmos 

Sebaik sahaja fon telinga ini dipasang, anda akan mengalami pengalaman audio 360 darjah menerusi teknologi Dolby Head Tracking™. Sensor pintar pada fon telinga ini akan mengesan arah bunyi apabila anda menggerakkan kepala sekali gus merasai tahap kejelasan bunyi yang hebat seakan anda berada dalam panggung wayang.

Ciri tukaran auto pula membolehkan fon telinga ini mengubah sambungannya sama ada kepada tablet atau telefon apabila diperlukan. Misalnya, apabila anda sedang menggunakan fon telinga ini yang ketika itu disambungkan kepada tablet untuk menonton wayang akan tiba-tiba beralih kepada telefon apabila menerima panggilan.

Sebaik sahaja anda sudah habis bercakap, fon telinga ini akan bersambung semula kepada tablet secara automatik tanpa perlu anda menekan kepada skrin. Hebat bukan!

Sambungan kepada Bixby

Selain itu, anda boleh terus bercakap ‘Hi Bixby’ untuk mengeluarkan arahan seperti membuat panggilan telefon, menukar muzik dan banyak lagi tanpa perlu menekan skrin. Anda juga boleh menukar sambungan antara peranti Samsung lain dengan menyebut nama peranti dan juga mengaktifkan ciri ANC atau mod Ambient.

Satu lagi ciri menarik ialah anda boleh mengesan kedudukan fon telinga ini jika ia tercicir atau anda terlupa kali terakhir anda meletakkannya. Hanya perlu buka aplikasi SmartThings dan aktifkan butang mencari fon telinga.

Galaxy Buds Pro akan menghasilkan bunyi beep dengan jelas dan jika dalam mod Offline, anda masih boleh mencari lokasi terakhir fon telinga ini digunakan walaupun ia tidak lagi disambungkan kepada peranti anda.

Berkongsi lagu?

Rakan anda yang memiliki fon telinga yang sama boleh berkongsi muzik yang dimainkan pada peranti telefon pada masa yang sama. Jadi, anda dan rakan baik anda boleh mendengar muzik kegemaran bersama-sama.

Selain kualiti bunyi tinggi dan rendah yang hebat, fon telinga ini boleh digunakan pada pelbagai sistem operasi tanpa masalah.

Apa yang menarik ialah jangka hayat baterinya amat baik dan dengan sekali caj setiap Buds Live boleh bertahan sehingga 5 jam atau sehingga 13 jam dengan bantuan pod pengecas jika ciri ANC diaktifkan.

Bagaimanapun, jika ciri ANC tidak aktifkan, baterinya mampu bertahan sehingga 28 jam. Jika anda menggunakannya untuk panggilan video penuh, mendengar muzik kegemaran, fon telinga ini mempunyai kuasa penuh untuk memenuhi kehendak semasa anda.

Pengecasan berwayar adalah menerusi port USB-C dan ia turut boleh dicas secara nirwayar.  Tiga warna menarik ditawarkan iaitu Phantom Violet, Hitam dan Perak.

Harga

Samsung Galaxy Buds Pro ini ditawarkan pada harga RM799.

Kesimpulan

Memiliki sepasang fon telinga Galaxy Buds Pro ini memang menyeronokkan apatah lagi anda sememangnya aktif mendengar alunan muzik tanpa gangguan. Selain rekaannya yang cukup menarik dan sesuai dengan citarasa golongan muda atau dewasa masa kini, anda tentunya kelihatan ‘trendy’ di mana sahaja anda berada.

Padanan ciri teknologi terkini dalam penghasilan peranti ini boleh dianggap berbaloi untuk dimiliki sesiapa sahaja.