Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan portal berwajah baharu yang berperanan sebagai pusat bermaklumat bagi memenuhi keperluan masyarakat dalam mendapatkan maklumat berkaitan suruhanjaya itu.

Portal SPRM tampil dengan pakej lengkap yang lebih mesra pelayar, reka bentuk kemas, isi kandungan lebih berinformatif dan teratur serta menjadi pusat sehenti media sosial rasmi jabatan.

Beberapa ruangan baharu untuk pelayar turut ditambah baik seperti ruangan [email protected] dan kes-kes menarik sebagai kupasan kepada berita dan isu semasa SPRM.

Portal tersebut dilancarkan secara maya oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini pada 2 Februari lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam dalam video ucapannya berkata, interaksi secara maya telah menjadi amalan lazim dan berfungsi sebagai jambatan penghubung dalam perkongsian maklumat.

“Pelbagai maklumat boleh diakses oleh sesiapa sahaja, namun ia perlulah diperolehi daripada sumber yang sah,” katanya.

Sementara  itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil semasa ditemui turut menyeru warga SPRM dan masyarakat untuk kerap melayari portal itu serta menjadikannya sebagai platform bagi mendapatkan maklumat berkaitan SPRM.

“Dalam dunia baharu yang serba canggih kini, SPRM akan cuba memberikan yang terbaik kepada orang ramai dengan menyalurkan fakta yang terkini, tepat dan sahih dari semasa ke semasa dengan kadar segera.

“Justeru, masyarakat perlu memaksimakan penggunaan platform portal SPRM sebagai salah satu saluran rasmi kami,” katanya yang juga merupakan Ketua Pegawai Maklumat SPRM.

Layarilah portal SPRM menerusi www.sprm.gov.my.