UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi melancarkan Toyota Innova 2021 dengan beberapa peningkatan dari segi penampilan serta tambahan sistem keselamatan yang ditawarkan sebagai ciri standard.
Seperti sebelumnya, Innova baru ini ditawarkan dalam tiga varian dengan harga anggaran seperti berikut:
Toyota Innova 2.0X — dari RM129,677 Toyota Innova 2.0G — dari RM121,483 Toyota innova 2.0E — dari RM111,622
Terdapat enam warna luaran sebagai pilihan; Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baru). Bagi Innova 2.0X, ada satu warna tambahan lain iaitu Crimson Spark Red Metallic.
Perubahan kecil telah dilakukan ke atas Innova 2021 untuk menjadikan penampilannya lebih segar. Grilnya kini mempunyai tema krom dan hitam, sementara cermin sisi diberikan perumah krom agar lebih kemas. Lampu kabus dan rekaan dalamnya direka semula untuk menjadikan wajah depan model ini lebih menonjol.
Pakej Enhancement disertakan pada Innova 2.0X. Pakej eksklusif ini merangkumi rekaan baru pada pelapik lengkung tayarnya untuk memberikan perlindungan pada bahagian badan, begitu juga pelapik sisi badan baru serta skirting sisi rekaan baru untuk memberikan sentuhan lebih sporty.
Di belakang, kemasan di pintu telah diberikan penggayaan baru untuk memberikan kesan visual yang lebih lebar, sementara spoiler pada bumbungnya (hanya pada Innova 2.0X) juga diprofilkan semula untuk memperbaiki aerodinamik.
Perincian rim masih dikekalkan, dengan Innova 2.0X dilengkapi rim aloi 17-inci dengan penyudah warna Dark Grey Metallic dan dibaluti tayar bersaiz 215/55R17. Bagi Innova 2.0G dan 2.0E, rim aloi yang digunakan bersaiz 16-inci yang lebih segar dengan warna dua-tona dan tayar 205/65R16.
Kedua-dua Innova 2.0X dan 2.0G datang dengan meter Optitron berkualiti tinggi pada panel instrumennya, menjadikan paparan lebih jelas dan mudah dilihat dalam semua keadaan.
Paparan Multi Information Display (MID) 4.2-inci juga tersedia, untuk maklumat pemanduan lain seperti baki minyak dan sebagainya.
Bagi memenuhi maklum balas pelanggan pula, lebih banyak slot pengecas USB disediakan kali ini. Di depan, terdapat dua slot berkenaan diposisikan semula pada bahagian papan pemuka (dahulu di konsol tengah) dengan satu slot tambahan untuk kerusi barisan ketiga.
Semuanya datang dengan ciri pengecasan pantas bagi peranti yang serasi dengannya. Sebagai tambahan, pengecas tanpa wayar turut disediakan di konsol tengah, sebagai ciri pilihan untuk semua varian.
Bagi tahun 2021, beberapa ciri tambahan lain turut diperkenalkan, bertujuan untuk meningkatkan perhatian pemandu terhadap persekitaran serta menambah baik aspek keselamatan.

Pertama, Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) kini standard pada Innova 2.0X dan 2.0G dan ditawarkan sebagai pilihan bagi varian 2.0E.
Sistem ini menggunakan sensor pada badan dan bampar kenderaan untuk mengesan kenderaan lain yang berada di titik buta atau berdekatan, dari segenap sisi mahupun ketika mengundur dari ruang letak kereta.
Turut melengkapi Innova 2.0X dan 2.0G ialah Peninjau Pandangan Panoramik (PVM). Ciri ini menggunakan kamera di badan kenderaan untuk mendapatkan imej sekeliling 360-darjah.
Pemandu boleh memanfaatkan ciri ini untuk meninjau persekitaran kenderaan dan menghindar sekiranya ada halangan. PVM sangat berguna untuk memerhati ruang letak kenderaan yang sempit.
Semua varian Innova dilengkapi tujuh beg udara SRS dan semua tempat duduk barisan ketiga mempunyai tali keledar 3-titik dengan regangan automatik.
Selain itu, ABS dengan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) juga standard.
Kelengkapan keselamatan yang menyeluruh ini telah membolehkan Innova menerima penarafan maksimum 5-bintang ASEAN NCAP.
Turut menyumbang kepada hal ini ialah struktur badan kukuh yang tahan terhadap hentaman dan mampu menyerap tenaga dengan baik untuk meminimumkan kecederaan penumpang sekiranya berlaku kemalangan.
Selain sistem keselamatan elektronik yang ada, satu lagi perkara yang melegakan untuk pemilik ialah pemasangan Sistem Telematik Kenderaan Toyota (VTS) sebagai ciri standard bagi varian Innova 2.0X dan 2.0G, manakala pilihan untuk 2.0E.
Sistem ini membolehkan kenderaan dijejaki menggunakan teknologi GPS dan GSM. Sekiranya kenderaan dicuri, Pusat Kawalan VTS boleh mengenal pasti kedudukannya dengan segera dan memaklumkan terus pihak berkuasa untuk tindakan pantas.
Innova juga terus menggunakan enjin yang sama, iaitu 2.0 liter DOHC empat-silinder 16-injap VVT- i petrol yang cekap bahan api dan kaya dengan tork tahap pertengahan.
Dengan pembakaran yang lebih cekap ini, unit berkenaan menghasilkan 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm yang dihantar ke roda belakang. Semua varian menggunakan transmisi automatik Super ECT elektronik enam-kelajuan.
Juga sama seperti semua model lain keluaran UMWT, Innova diberikan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pelanggan boleh mendekati dan memandu uji model ini di semua bilik pameran rasmi Toyota seluruh negara. Lokasi terperinci bilik pameran berkenaan boleh diketahui melalui www.toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota 1800-8-TOYOTA (869682).