Membuka tirai tahun 2021 dalam suasana satu dunia sedang bergelut dan berdepan dengan wabak COVID-19 bukan menjadi penghalang kepada gergasi telefon pintar dari Korea Selatan ini mempertaruh peranti mercu terbaharunya menerusi siri Samsung Galaxy S21.

Dalam keadaan ketidaktentuan ini, Samsung mungkin mahu ‘menceriakan’ semula dunia dan menjadi pendahulu pasaran telefon pintar dengan muncul syarikat pertama memperkenalkan peranti baharu bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

Prebiu.com yang terpilih oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti model S21 5G ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum, cukup bertuah dapat merasai sendiri pengalaman memegang telefon ini yang sebelum ini hanya melihat iklannya dikaca televisyen sahaja.

Baik, apa yang menarik pada telefon pintar S21? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasi yang dinaiktaraf berbanding peranti siri S20 yang dilancarkan pada tahun lalu.

Rekaan Kamera Unik

Rekaan paling ketara ialah kedudukan kamera belakang yang lebih menonjol seakan ‘dibalut’ dengan bingkai bukannya ciri ‘biase-biase’ sekali gus tampil kelainan berbanding peranti sedia ada di pasaran sekarang.

Walaupun bonggol kamera model S21 ini kelihatan besar daripada kebiasaannya, namun ia tidak terlalu tebal dan nampak kemas selain tidak terlalu tertonjol berbanding model ‘abangnya’ seperti S21+ dan S21 Ultra.

Kedudukan semua lensa kamera disusun rata dan lampu LED flash pula diletak di luar kotak bonggol kamera, mungkin tidak mahu mengganggu bingkai kamera.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya hanya ‘enjin’ dan spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mercu S21 ini setanding dengan harganya hampir mencecah RM4,000.

Rekaan Kontur Badan

Menerusi model S21, rekaan baharu “Contour Cut Design” diperkenalkan yang mana rekaan badan peranti ini dilihat bercantum dengan bahagian bingkai kamera.

Skrin pada peranti ini juga rata dan tiada kesan lengkung seakan ‘edge’ manakala rekaan bezel yang lebih nipis untuk kawalan bunyi dan butang buka masih kekal di sebelah kanan.

Peranti S21 ini menggunakan panel polikarbonat ‘glastik’ yang tahan lasak dan permukaan belakangnya tidak terlalu licin dan sedikit kesat tetapi amat selesa dipegang serta tidak meninggalkan kesan cap jari yang pastinya.

Slot untuk kad sim pula dipindahkan ke bahagian bawah berbanding S20 diletakkan di atas. Slot kad sim pula mempunyai ciri dua slot iaitu diatas dan dibawah tetapi tiada ruang untuk slot kad mikro untuk storan tambahan.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy S21 hadir dengan skrin bersaiz 6.2-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2x, dijana cip Exynos 2100, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, dan bateri 4000mAh.

Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan atas sebab itu tiada kemudahan untuk tambahan slot kad storan disediakan untuk model S21 ini.

Selain itu, skrin peranti ini mampu memberikan kadar semula di antara 40-120Hz bergantung kepada aplikasi bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Melihat kepada ciri pengimbas cap jari pula, kawasan imbasan kini 1.7 kali lebih besar dan imbasan adalah 50X lebih pantas.

Daripada segi sambungan selular pula, rangkaian 5G Sub 6 boleh digunakan. Ciri ini dilihat terlalu ke hadapan sedangkan rangkaian 5G di Malaysia ketika ini hanya pada sambungan WiFi dan belumpun meluas digunakan untuk telefon pintar.

Sebagaimana ciri model terdahulu, peranti S21 turut dilengkapi pembesar suara Dolby Atmos, WiFi 6E, Bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.

Bagi peranti S21 kali ini, Samsung tidak membekalkan kepala pengecas dan fon kepala bagi setiap pembelian tetapi hanya wayar yang menyokong pengecasan pantas 25W.

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy S21 dilengkapi ciri tri-kamera belakang gabungan 12MP + 12MP + 64MP, sementara kamera swafoto 10MP. Konfigurasi kamera pada Galaxy S21 5G adalah sama dengan S20 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, sedikit penambahbaikan pada ciri dan prestasi seperti ciri ‘Director’s View’ yang mana anda boleh membuat ulasan secara langsung menggunakan lensa kamera belakang secara terus tanpa menggunakan mod selfie.

Harga pasaran

Samsung Galaxy S21 yang bakal dilancarkan di pasaran negara ini akan ditawarkan pada harga RM3,699 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Phantom Violet, Phantom Gray, Phantom White dan Phantom Pink.

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy S21