Edisi ke-20 TEY bermula secara dalam talian dalam suasana pandemik dan mencatatkan rekod penyertaan tertinggi sejak 2001.

Program Toyota Eco Youth (TEY), yang dianjur serta diuruskan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sejak 20 tahun lalu, telah menjadi sebuah program pelopor untuk menyemai kesedaran terhadap alam sekitar dan inovasi dalam kalangan belia di negara ini.

Sepanjang tempoh berkenaan, ia telah melibatkan 258 sekolah, 1,910 pelajar sekolah menengah dan 762 guru di seluruh negara.

Pelbagai tema telah diperkenalkan dengan satu matlamat: membangunkan masyarakat masa depan yang ada kesedaran terhadap alam sekitar.

“TEY telah dianjurkan sepanjang 20 tahun dan kami berharap semua yang pernah mengambil bahagian di dalamnya meneruskan percambahan kreativiti mereka untuk membantu menjadikan masa depan yang lebih hijau untuk kita semua,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Bagi edisi ke-20 TEY, UMWT sekali lagi akan bekerja sama dengan Kementerian Pendidikan dan meneruskan saingan diperingkat negeri dan kebangsaan. Sebagai tambahan, untuk tahun ini, Komuniti Leadernomics juga akan turut serta sebagai rakan sekerja.

Program ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah yang berumur antara 13-16 tahun dan tiada had penyertaan sekolah dan penganjur telah menerima sejumlah 283 pendaftaran pasukan dari 177 sekolah.

Bagaimanapun, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan program ini dijalankan dalam tempoh setahun, konsep TEY kali ini bakal berlangsung selama tiga
tahun.

Bagi TEY edisi ke-20 TEY, pemenang akan kembali sebagai pemudahcara bagi tahun kedua untuk menjadi mentor kepada kumpulan baru dan mewujudkan Kelab Perintis Dalam Talian TEY.

Pemenang kemudiannya akan meneruskan untuk merealisasikan konsep mereka dan mengikuti fasa Pembangunan Prototaip Intensif.

Disebabkan situasi pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi ketika ini, pelancaran rasminya berlangsung dalam talian semalam, susulan daripada jemputan untuk pendaftaran yang diumumkan pada November 2019 dengan tarikh akhir untuk berbuat demikian pada 18 Disember 2019.

Maksimum 16 pasukan dari sekolah-sekolah seluruh negara telah ditetapkan. Ketika pelancaran rasmi pertandingan peringkat kebangsaan ini, Pengarah Eksekutif Jualan UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain, mengumumkan nama-nama pasukan berkenaan, seperti berikut:

1. SMK TAMAN RINTING 2, MASAI, JOHOR
2. SMK KUBANG KERIAN, KOTA BHARU, KELANTAN
3. MAKTAB TENTERA DIRAJA (MTD), KUALA LUMPUR
4. SMK CONVENT BUKIT NANAS, KUALA LUMPUR
5. SMK MUTIARA, WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
6. SMK TINGGI ST. DAVID, BUKIT BARU, MELAKA
7. SMA PERSEKUTUAN LABU, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
8. SMK AIR PUTIH, KUANTAN, PAHANG
9. SMK PAYA BESAR, KUANTAN, PAHANG
10. SMK BERAPIT, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG
11. SMK MAJAKIR, PAPAR, SABAH
12. VISION SECONDARY SCHOOL, TAWAU, SABAH
13. SMK CHUNG HUA, MIRI, SARAWAK
14. SMK ST. ANTHONY, SARIKEI, SARAWAK
15. SMJK KATHOLIK, PETALING JAYA, SELANGOR
16. SMK SAUJANA UTAMA, SG. BULOH, SELANGOR

Beliau juga turut memperkenalkan Agent M (Mobiliti), terdiri daripada 3-4 orang ahli dalam satu pasukan. Setiap Agent M perlu memilih C.A.S.E (Clothing, Apps, Smart Tools or Eco-Friendly Vehicles) dan membangunkan penyelesaian terhadap masalah alam sekitar. Penyelesaian itu akan dipersembahkan dalam bentuk video yang akan dimuat naik untuk tujuan penilaian serta tontonan umum.

Format program ini akan berlangsung secara dalam talian sepenuhnya, dan 16 pasukan TEY akan dilengkapi dan dilatih dengan kemahiran pengurusan projek yang menerapkan Kaedah Penyelesaian Masalah oleh Toyota.

Mereka kemudiannya diperlukan untuk membina prototaip penyelesaian berdasarkan tema “Reimagining Mobility”. Tema ini melambangkan pembangunan penyelesaian mobiliti yang selamat dan mesra alam untuk negara, dengan pendekatan serampang dua mata bagi memastikan ia menyeluruh darisegi teori dan juga praktikal, yang turut akan melibatkan bengkel pembelajaran elektronik yang interaktif.

Fasa penilaian terakhir akan memerlukan pasukan untuk menunjukkan perkembangan semasa mereka menerusi media sosial dan saluran penstriman secara langsung. Nilai hadiah wang tunai telah digandakan kepada keseluruhannya bernilai RM64,000.

“Sejak TEY dimulakan, UMW Toyota Motor telah membelanjakan lebih daripada RM7 juta untuk program ini,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Walaupun sedang berdepan dengan pandemik, kami tidak akan menarik sokongan terhadap program seperti ini, memandangkan ia sangat penting dan menjadi teras kepada tanggungjawab sosial korporat kami.”

Untuk maklumat lanjut dan kemaskini terbaru berkaitan program Toyota Eco Youth 2020/2021, sila layari laman sesawang www.toyota.com.my/toyotaecoyouth.