Gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak semua Ahli Parlimen menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong membatalkan Pengisytiharan Darurat dan membolehkan persidangan Parlimen diadakan dengan kadar segera adalah satu tindakan politik “desperado”.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata, tindakan mendesak semua Ahli Parlimen menulis surat kepada Ketua Negara dilihat sebagai satu usaha sangat terdesak Anwar untuk menjejaskan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

Razali Idris

Beliau berkata, tindakan terdesak Ketua Pembangkang ini mungkin tidak seolah-olah  “merancang” tetapi tindakan itu dilihat sebagai satu kepentingan sendiri yang kononnya Parlimen tidak bersidang telah mencacat-celakan prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan itu sendiri.

“Politik “desperado” Ketua Pembangkang tidak lagi boeh digunapakai kerana rakyat telah mengetahui akan helah politik sebegini kerana umum sudah mengetahui tujuan-tujuan Proklamasi Darurat adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara secara menyeluruh.

“Bentuk hasutan yang digerakkan sebegini akan merosakkan minda rakyat terutama generasi muda dan rakyat tidak mudah termakan akan dakyah politik “desperado” Ketua Pembangkang yang acap kali mengutarakan mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, tetapi tidak sebaliknya. Janganlah jadi penghasut bersiri!.

“Persoalan sekarang kenapa Ketua Pembangkang sewaktu dulu masa berada dalam kerajaan memerintah tidak betul-betul membantu rakyat dan sekarangnya konon sibuk berjuang demi rakyat dan negara?,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, berkata dalam keadaan yang tidak menentu sekarang adalah lebih baik semua Ahli Parlimen meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang prihatin dan turun ke padang bersama-sama membantu keluh kesah dan nadi denyut rakyat yang sangat memerlukan sokongan moral, motivasi dan segala bantuan yang dipohon.