Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyambut baik langkah yang sangat wajar dan berhemah oleh Kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di seluruh negara bermula tengah malam Rabu (13 Januari 2021).

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau mendoakan agar pelaksanaan PKP mampu menurunkan kadar penularan dan kebolehjangkitan dalam komuniti.

Beliau berkata, pada waktu sama, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga melahirkan kebimbangan dengan tekanan dan bebanan yang sangat tinggi dalam kalangan petugas kesihatan.

Dewan Negara

“Sehubungan itu, saya pohon Kerajaan mengambil langkah bijak dan perancangan strategik dalam menyusun gerak kerja yang lebih efisien dalam menangani kes-kes baharu Covid-19 setiap hari dan perlu wujudkan kolaborasi tertentu untuk memastikan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia berjalan dengan efektif.

“Demi kesejahteraan rakyat di negara ini, saya melahirkan keyakinan bahawa tempoh selama 14 hari adalah diharapkan dapat memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19, namun Kerajaan juga wajar meneliti penilaian selepas tempoh itu sama ada perlu ada lanjutan kedua untuk tempoh dua minggu bergantung kepada kadar kes yang diperolehi secara harian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia dan Ahli Parlimen Dewan Negara berharap, agar nilai R semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia, menurun dalam tempoh 14 hari PKP bermula Rabu ini walaupun jangkaan unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

Menurutnya, Kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam adalah keutamaan sekarang demi kestabilan negara dalam mendepani pandemik Covid-19 dan sebarang desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak bersesuaian pada waktu kesukaran kini.

Justeru, pada saat kesukaran dan kepayahan sekarang termasuklah situasi banjir yang melanda Pantai Timur serta di Johor, rakyat perlu terus tabah dan bersabar dalam mendepani pandemik Covid-19.Teruskan berdoa dan patuhi SOP mengikut PKP di negeri masing-masing. Teruskan slogan “KITA JAGA KITA”.