Prihatin dengan musibah banjir yang melanda ketika pandemik COVID-19 berada pada tahap membimbangkan, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan menyalurkan dana berjumlah RM400,000 daripada platform pendanaan awam Islamnya, Sadaqa House, untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana banjir di negeri-negeri terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, “Selain menawarkan kemudahan moratorium kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir, kami juga mengambil keputusan untuk menggandakan usaha dengan memperuntukkan sumbangan daripada inisiatif kewangan sosial Islam yang diperolehi melalui Sadaqa House.

“Ini bagi memastikan dana sokongan dan bantuan yang signifikan dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terkesan.

“Justeru, usaha ini juga secara tidak langsung mencerminkan bahawa institusi perbankan Islam sentiasa mengamalkan konsep perkongsian rezeki dan peranan instrumen kewangan sosial Islam seperti sedekah, zakat dan wakaf mempunyai kelebihan dalam memainkan peranan penting untuk membantu menjaga kebajikan sosio ekonomi ummah.”

Beliau berkata, “Kami turut akan menyalurkan RM100,000 daripada jumlah dana kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah yang kini sedang giat menjalankan aktiviti-aktiviti membantu mereka yang kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara.”

“Dana misi bantuan kemanusiaan dan bencana Bank Islam merangkumi sokongan bantuan langsung seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, kelengkapan asas mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta pembelian peralatan-peralatan kebersihan bagi menghadapi keadaan pascabanjir,” katanya.

Bank Islam juga turut bekerjasama dan menjalinkan hubungan strategik dengan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Yayasan Food Bank Malaysia (YBFM); Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Mercy Malaysia untuk penyaluran bantuan ini.

Orang ramai yang ingin turut menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Sadaqa House Bank Islam di nombor 140 140 101 88888 atau melayari laman sesawang Sadaqa House di www.sadaqahouse.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bankislam.com.