Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) telah menganjurkan kempen “Jom Nginap” bermula semalam sehingga 31 Mac 2021 sebagai tanda sokongan bagi menggalakkan pelancongan domestik yang diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia baru-baru ini.

Kempen “Jom Nginap” ini adalah antara inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri pada 23 November 2020 yang lalu di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bertujuan untuk merancakkan lagi pelancongan domestik Cuti-Cuti Malaysia di samping mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dengan kerjasama Gkash, kempen ini diwujudkan khas menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, di mana para pengguna hanya perlu menempah bilik hotel minima RM50 menerusi aplikasi ini dan mendapat cashback sebanyak RM20 dalam tempoh masa tiga (3) hari bekerja.

Menerusi promosi baharu di aplikasi Touch ‘n Go eWallet ini, rakyat Malaysia juga dapat menikmati pelbagai tawaran pakej penginapan menarik yang dibawakan khas oleh ahli-ahli Persatuan Hotel Budget Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.tngdigital.com.my/mybhajomnginap.