Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) perlu lebih aktif dengan melaksanakan perbagai program kesedaran pencegahan jenayah bukan sahaja kepada masyarakat bandar tetapi juga di luar bandar.
Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Ahli MCPF, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, ini kerana jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira masa dan tempat apatah lagi ketika ini yang menyaksikan ramai orang kehilangan pekerjaan akibat wabak COVID-19.

Beliau demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye semasa menghadiri Mesyuarat Agung MCPF ke-27 di Melaka baru-baru ini.
Mesyuarat Agung itu dirasmikan oleh Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Pengerusi MCPF.
Beliau berkata, mengenai laporan peningkatan jenayah siber ketika ini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCPF perlu bekerjasama erat bagi membanteras jenayah ini.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli MCPF supaya terus aktif dan memberi komitmen yang tinggi dan menerapkan amalan integriti dalam setiap program yang dilaksanakan supaya dapat membentuk generasi masa depan yang cemerlang,” katanya.
Mustapha berharap ahli MCPF dapat menghayati nasihat dan pandangan daripada Pengerusi MCPF supaya setiap ahli Exco MCPF yang baru perlu bergerak aktif dan memikirkan langkah-langkah mengatasi masalah jenayah pada masa kini.
“Kesedaran kepada semua komuniti dan cara-cara pencegahan jenayah secara pantas perlu diatasi bagi memudahkan urusan dan tindakan pihak berkuasa,” katanya.





































