Semakan awal Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kelompok pengeluaran (batch) air minuman berbungkus berjenama Meadows keluaran Malaysia yang ditarik daripada pasaran Singapura, mendapati ia tidak dipasarkan di negara ini.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata, pihaknya bagaimanapun sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai penarikan berkenaan.

“KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Meadows keluaran Malaysia dari pasaran Singapura sebagaimana yang dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA) bertarikh 3 Disember 2020.
“Laporan tersebut menyatakan pihak SFA telah mengarahkan produk AMB tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa. Produk AMB yang terlibat berisipadu 1.5L dengan tarikh luput 9/11/2022,” kata kenyataan itu.
Bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.
Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.
Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat.
KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pihak SFA. Walau bagaimanapun, semakan awal mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut mempunyai Pensijilan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) dan Lesen Air Minuman Berbungkus dari KKM.
Selain itu, batch dari jenama yang sama tidak dipasarkan di Malaysia. KKM ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.
Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.






































