KPJ Sentosa KL Specialist Hospital telah mengagihkan lebih 500 pelitup muka, 4 botol cecair pembasmi kuman dan bekalan harian kepada Rumah Titian Kaseh Titiwangsa dan Asrama Putera bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia.

Sumbangan diserahkan kepada Mak Linda, kakitangan Rumah Titian Kaseh HQ yang akan diagihkan ke rumah-rumah di bawah pengurusan Rumah Titian Kaseh HQ. Setiap kanak-kanak di rumah tersebut kelihatan ceria apabila menerima kek cawan yang bertema Hari Kanak-kanak.

“Kami sangat berbesar hati dengan bantuan yang diberikan oleh pihak hospital“, kata Mak Linda.

Tambahnya lagi, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada rumah jagaan secara tidak langsung. Anak-anak sudah tiada aktiviti di luar dan mereka perlu memikirkan inisiatif supaya anak-anak  terus belajar serta dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Pihak hospital juga menyumbang buku-buku rujukan serta latihan baru dari fasa pra tadika hingga sekolah menengah bagi meringankan beban pihak pengurusan dalam menyediakan buku-buku rujukan terkini yang agak mahal di pasaran.

Anjuran Hari Kanak-kanak Sedunia pada tahun lepas diadakan dengan penuh kemeriahan di Balai Bomba dan Penyelamat Sentul tetapi terpaksa di batalkan perancangan pada tahun ini kerana penularan pandemik Covid-19.

Namun, ianya tidak mematahkan semangat dalam menggalas tanggungjawab sosial hospital kepada komuniti. KPJ Sentosa KL tetap menghulurkan sumber keperluan harian sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Antara barang keperluan harian yang disumbang adalah beras, minyak masak, sabun basuh baju dan banyak lagi.

Pihak KPJ Sentosa KL Specialist Hospital berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan menceriakan kanak-kanak di Rumah Titian Kaseh Titiwangsa serta Asrama Putera.