Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican membuat kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7, TYT Tun Mohd Ali Mohd Rustam di pejabatnya di Sri Negeri, Melaka semalam.

Tujuan kunjungan itu ialah Tun Mohd Ali ingin menyatakan perhargaan khas kepada Mustapha kerana menaikkan nama Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan memberikan sokongan agar Dr Mustapha terus menyumbang bakti kepada kepentingan masyarakat serta ummah sejagat.

“Dalam pertemuan hampir 1 jam lebih itu turut membincangkan pelbagai isu berkaitan belia, ekonomi dan pengangguran yang sedang berlaku kesan akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Kami juga membincangkan perkara mengenai inisiatif menarik lebih banyak golongan belia menyertai aktiviti-aktiviti badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Mustapha yang juga Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia baru-baru ini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas (Utama), Semarak Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1442H /2020.

 

Beliau telah dipilih oleh kerajaan Malaysia atas jasa dan sumbangan beliau selama 22 tahun mencurah bakti untuk kerja-kerja kebajikan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, Tun Mohd Ali juga aktif dalam kerja-kerja NGO sebelum ini merupakan bekas Presiden beberapa NGO dalam dan luar negara sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7, baru-baru ini.

Mustapha juga adalah bekas penasihat ekonomi dan Ketua eksekutif Terengganu Inc GLC Utama Negeri Terengganu tahun 2009 – 2013.