Menyedari keperitan golongan yang memerlukan terkesan dengan situasi sukar pasca COVID-19 ini, Atomy Malaysia Sdn Bhd telah menyalurkan sumbangan terhadap pusat dan yayasan kebajikan, pusat jagaan kanak-kanak dan juga pusat jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
Antara penerima sumbangan ialah MSDEAF Community, Rumah Kebajikan Victory, PMY Deaf Community, Fun-gates Pre School, Fun-gates Soup Kitchen, Cheshire Home dan Hope Worldwide Malaysia.

Sumbangan kepada tujuh benefisiari ini berbentuk pembersih tangan berkapasiti 50ml dan 500ml, set pembersih rambut dan badan serta set penjagaan diri yang keseluruhannya bernilai RM141,080 yang kesemuanya merupakan produk keluaran syarikat.
Pada satu program serahan bantuan kepada salah sebuah benefisiari iaitu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) minggu lalu, pihak syarikat melahirkan rasa simpati terhadap golongan kurang upaya yang terjejas teruk akibat pandemik ini.
Untuk makluman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan Penaung Diraja Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).

Dalam memastikan tiada yang tertinggal dalam menerima bantuan semasa pandemik ini, pelbagai inisiatif strategik telah dilakukan pihak syarikat antaranya menerusi penyerahan sumbangan penjagaan dan keperluan diri yang diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya golongan terbabit.
Atomy Malaysia juga berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang dipikul oleh pusat kebajikan berkenaan selain dapat membantu mereka dalam mengharungi situasi pandemik yang kian meruncing dan juga keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
Segala proses pengagihan sumbangan diuruskan secara berperingkat yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Agihan bantuan juga tersebut merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang merupakan tunjang asas kepada syarikat yang mengamalkan budaya perkongsian terhadap masyarakat dan pihak Atomy Malaysia Malaysia Sdn Bhd juga akan terus mengadakan program-program CSR khususnya terhadap golongan yang terjejas akibat pendemik ini pada masa hadapan.






































