Anak-anak di Pertubuhan Nur Kasih Klang adalah antara golongan di bawah jagaan organisasi-organisasi kebajikan yang menikmati rezeki perayaan Hari Roti Sedunia tahun ini.

Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL) baru-baru ini telah tampil membantu 10 organisasi kebajikan dengan komitment membekal roti sebanyak dua kali seminggu sepanjang tempoh enam bulan sempena sambutan Hari Roti Sedunia.

“Kakitangan dan sukarelawan yang menjaga golongan yang memerlukan memikul tugas yang berat dalam memastikan keterusan dana dan barangan keperluan.

Gardenia berhasrat membantu meringankan serba sedikit beban ini dengan menyumbangkan bekalan roti sepanjang tempoh enam bulan. Komuniti adalah cukup penting buat Gardenia dan kami berbesar hati untuk memeriahkan perayaan Hari Roti Sedunia bersama mereka,” kata Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun.

Hari Roti Sedunia disambut pada 16 Oktober setiap tahun bagi memperingati ulang tahun Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang diasaskan pada tahun 1945 untuk mengatasi isu kelaparan.

Antara 10 penerima sumbangan Hari Roti Sedunia oleh Gardenia KL termasuk Pertubuhan Nur Kasih Klang, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar Raudhah Malaysia, Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Kasih Abadi, Rumah Kebajikan Misi Harapan, Persatuan Kebajikan Darul Hanan, serta Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman.

Meneruskan tradisi meraikan sambutan ini sambil beramal, Gardenia KL, dengan sokongan para netizen, akan menyumbang sebanyak 12,375 buku roti Gardenia Original Classic dan 825 unit kaya Auntie Rosie Gardenia.

Secara keseluruhannya, sebanyak 13,200 unit produk Gardenia, bernilai kira-kira RM37,500 akan dihulurkan kepada 10 organisasi kebajikan yang dikenal pasti bermula Oktober 2020 sehingga April 2021. Gardenia KL juga akan menghulurkan sumbangan kepada masyarakat orang asli di Rumah Haknuk Jenang di Raub.

Di samping itu, dalam usaha membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Gardenia KL, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, telah menyumbangkan 600 pek Krim Rol Gardenia Delicia dan 600 Roti Ban Sambal Bilis kepada penghuni asrama Tropicana yang menjalani PKPB.