Menutup tirai 2020 yang bakal berakhir tiga bulan lagi menyaksikan Samsung Malaysia memperkenalkan tablet paling berkuasa, Samsung Galaxy Tab S7+ yang memiliki fungsi seakan sebuah komputer peribadi atau laptop.

Meskipun laptop masih digunakan ramai, namun penulis secara peribadi berpendapat komputer tradisional itu mungkin akan digantikan dengan tablet yang lebih mudah dikendalikan pada masa depan.

Jika anda memang sudah terbiasa menggunakan telefon pintar Samsung, sudah tentu tidak menjadi masalah menggunakan tab ini kerana ciri yang ada dalam tablet ini hampir sama dengan telefon cuma bezanya hanyalah S-Pen dan saiz skrin yang besar.

Perkara yang mungkin boleh diberi perhatian ialah kepelbagaian fungsinya, praktikaliti, bateri tahan lebih lama, ringan dan sistem kamera yang berfungsi seakan sebuah telefon pintar.

Kesempatan Prebiu.com menguji tablet terbaharu Samsung Galaxy Tab S7+ ialah rekaan luarannya yang dilengkapi skrin 12.4 inci Super AMOLED dengan resolusi WQXGA+ dan sokongan kadar segar semula 120Hz.

Kelebihan paling unik tentu sekali ialah penggunaan stylus S-Pen yang boleh disimpan secara magnetik ke panel belakang tablet ini.

Kehadiran papan kekunci yang boleh melekat secara magnetik pada badan tablet ini memudahkan lagi tugas anda menaip pada skrin dan boleh juga menggunakan S-Pen untuk tujuan menaip sekiranya badan tablet ini dipisahkan.

Sekali imbas, peranti ini dipadankan dengan cip pemproses paling pantas dalam sebuah tablet iaitu Snapdragon 865+, memori 6GB RAM dan storan sebesar 128GB. Kamera utama adalah 13 + 5 megapiksel (MP) dan kamera swafoto pula sebesar 8 MP manakala lensa sekunder pada kamera utama dilengkapi lensa ultra sudut lebar.

Peranti ini dipadankan dengan bateri sebesar 10,090 mAh yang mampu membekalkan kuasa kepada peranti sehingga 14 jam dan boleh dicas pantas menerusi port USB-C.

Apa yang menarik mengenai Tab S7+ ialah pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Empat pembesar suara pada sisi peranti pula dilengkapi sistem audio Dolby Atmos dan ditala oleh pakar bunyi AKG. Peranti ini juga menyokong rangkaian 5G, WiFi 6 dan DeX secara nirwayar.

Berbanding ‘adiknya’ Samsung Galaxy Tab S7 pula dilengkapi skrin 11 inci LTPS dengan resolusi WQXGA, sokongan kadar segar semula 120Hz dan stylus S-Pen.

Spesifikasi lain ada sama dengan Tab S7+ cuma pengimbas cap jari pada bahagian sisi dan bateri lebih kecil iaitu hanya 8,000 mAh yang mampu bertahan sehingga 15 jam.

Peranti terbaharu ini sebenarnya bukan sahaja tablet paling besar dalam kategori premium Samsung malah tablet paling nipis iaitu hanya 5.75mm yang ada dipasaran sekarang.

Sekali pandang ciri tablet Samsung ini nampak seakan sebuah tablet terbaharu keluaran syarikat daripada Amerika Syarikat khususnya rekaannya yang rata, badan daripada logam dan skrin yang hebat.

Namun Galaxy Tab 7+ ini nampak lebih menawan dan premium dengan bezel yang mudah dicapai serta selesa dipegang.

Kerangka pelindung skrin yang turut mempunyai fungsi untuk mendirikan tablet ini menjadi satu kelebihan manakala S-Pen boleh disimpan secara magnetik dalam panel belakang yang juga bertindak mengecas S-Pen ini dalam masa sama.

Ciri Kamera

Adakah gambar yang dirakam menggunakan tablet ini secantik telefon pintar? Ketika dicuba, anda perlu bersabar sedikit kerana tablet perlu dipegang dengan berhati-hati disebabkan saiznya yang besar dan berat.

Namun hasilnya boleh dikatakan berpada walaupun ciri fokus autonya sedikit lambat namun memberikan hasil terbaik jika tahap pencahayaan yang mencukupi. Ciri fokus zum pada kamera tablet ini hanya 8 kali ganda dan jika sekadar gambar biasa sudah memadai menggunakan kamera utama hanya 13MP.

Mahukan gambar lebih cantik guna sahaja telefon pintar dan pindahkan gambar yang diambil itu ke dalam tab untuk tujuan suntingan mahukan menghasilkan klip-klip menarik.

Rakaman video pula jelas dan stabil manakala kamera hadapannya atau swafoto sebesar 8 MP boleh dianggap cukup terbaik jika menggunakannya untuk tujuan persidangan video secara dalam talian.

Meskipun tablet ini hanya boleh disambungkan terus dengan WiFi sahaja, ketahanan baterinya bertahan pada tahap yang baik meskipun menggunakan paparan beresolusi tinggi dan masa untuk mengecas menggunakan pengecasan pantas 45W hanya mengambil masa kira-kira 4 jam untuk mencapai kapasiti penuh.

Kesimpulannya

Menerusi siri Tab S7 ini, Samsung menawarkan peranti dengan kemampuan setanding telefon pintar Galaxy Note 20 tetapi dengan skrin lebih besar namun kemampuan kamera yang lebih rendah iaitu 13MP.

Pengendalian S-Pen amat mudah dan cukup menyeronokkan tanpa adanya kesan ‘tertinggal’. Penggunaan S-Pen ini untuk pelbagai tujuan seperti melukis atau melakar amat berguna seperti sebuah telefon pintar Galaxy Note cuma tablet ini saiznya lebih besar.

Anda boleh melakukan apa sahaja kawalan dan tetapan pada S-Pen ini secara kawalan jauh seumpama memegang kayu magik ‘Harry Potter’. Untuk lebih praktikal apabila anda mahu membuat pembentangan sesuatu bahan atau laporan boleh menggunakan ciri Samsung DeX.

Cuma penulis perasan untuk mendapatkan huruf @ mempunyai sedikit masalah kerana ia harus dilakukan dengan betul iaitu dengan menekan butang shift+” bukan seperti papan kekunci lain.

Untuk pasaran Malaysia, Galaxy Tab S7+ ditawarkan pada harga RM4,599 manakala Galaxy Tab S7 ditawarkan pada harga RM3,299.

Pembeliannya juga hadir dengan papan kekunci bernilai RM999, langganan Microsoft Office selama setahun, akses Clip Studio Paint selama 6 bulan, YouTube Premium selama 4 bulan, dan kad mikroSD 128GB (terhad kepada 1000 pelanggan pertama).

Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Tab S7+ ialah sebuah tablet paling premium dan berprestasi tinggi yang berjaya dicipta Samsung dalam tahun ini kecuali ciri kameranya.

Peranti seberat 575 gram ini mampu mengatasi komputer atau laptop bersaiz lebih daripada 12 inci namun dengan tanda harga RM4,599, pastikan anda mempunyai tujuan sebenar untuk memilikinya.

Spesifikasi Samsung Galaxy Tab S7+:

  • Qualcomm Snapdragon 865+ cip set
  • 8GB RAM + 256GB simpanan / sehingga 1TB microSD
  • 12.4-inci paparan Super AMOLED (2800 x 1752)
  • 185 x 285 x 5.7mm / 575gram
  • 13MP + 5MP dual kamera belakang/ 8MP kamera hadapan
  • Ciri S-Pen (kawalan udara air, kepedaman rendah), paparan sensor cap jari dan speaker ditala oleh AKG
  • 10,090 mAh bateri
  • Pilihan 3 warna iaitu Mystic Black, Bronze dan Silver
  • Harga RM4,599