“Saya mengalu-alukan langkah terbaik Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang meneruskan bantuan pembayaran bersasar yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021,” kata Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Ini suatu langkah yang sangat murni dan prihatin oleh BIMB yang terus komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara.

“Terima kasih BIMB kerana sentiasa prihatin kepada pelanggannya serta memahami situasi ekonomi semasa negara, malahan langkah BIMB yang turut menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan oleh kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing adalah sangat dialu-alukan.

“Saya mencadangkan juga semua institusi kewangan dan pinjaman termasuklah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengambil langkah sama bagi meneruskan bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar apatah lagi pandemik COVID-19 yang masih belum reda, rakyat masih terkesan dengan keadaan sedemikian.

Katanya, jumlah pengangguran semakin meningkat, peniaga dan peruncit ramai yang gulung tikar, penjaja dan usahawan masih bertungkus-lumus mempertahankan perniagaan masing-masing malah semakin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan.

Semua tahu bahawa rakyat adalah pelanggan terbesar institusi kewangan dan mereka masih mengalami tekanan aliran tunai yang tinggi malah sudah semestinya mereka ini memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka  menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik.

“Saya percaya institusi kewangan sentiasa memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan yang berterusan boleh terus dinikmati menerusi pelbagai platform perbankan.

Sehubungan itu, besarlah harapan saya supaya pembentangan Belanjawan 2021 memberi fokus utama dalam soal membantu rakyat jelata serta memastikan kecairan dan sumber kewangan sentiasa tersedia bagi membolehkan Kerajaan terus memberikan sokongan kepada rakyat dan perniagaan serta pelaburan lain dalam mendepani kemelut pandemik COVID-19 dan ekonomi semasa,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang.

Semalam, Bank Islam dalam kenyataannya berkata, bantuan pembayaran bersasar, yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan, terus ditawarkan sehingga 30 Jun 2021.

Sebagai alternatif, pihak bank turut menyediakan pilihan Penjadualan dan Penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan melalui kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing.