Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia, mengumumkan spesifikasi penuh Mitsubishi XPANDER.
Crossover tujuh tempat duduk ini sekarang dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran bertauliah Mitsubishi Motors di seluruh negara, sebelum pelancaran rasminya di Malaysia yang dijadualkan pada November 2020.
XPANDER ini dikuasakan enjin petrol 1.5-liter MIVEC menggunakan blok aluminium yang menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm. XPANDER ini didatangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan yang mengoptimumkan kuasa dan penjimatan bahan api.
Mengulas mengenai XPANDER baharu, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi berkata, “XPANDER adalah model penting bagi MMM dan kami optimistik bahawa ia akan menjadi model disukai ramai rakyat Malaysia kerana reka bentuknya tidak terhad kepada rupa estetikanya.
“Hari ini, kami gembira untuk mengumumkan spesifikasi penuh XPANDER baharu ini kepada semua. Kami memahami bahawa rakyat Malaysia kini mahukan kereta yang
memenuhi aspirasi mereka untuk gaya hidup lebih aktif dan praktikal.
“Maka itu, XPANDER dibina khas bagi memenuhi kecenderungan rakyat Malaysia. Kami mahu menawarkan model yang berharga lebih berdaya saing dengan spesifikasi yang lebih baik, maka itu kami memutuskan supaya XPANDER dipasang tempatan (CKD).
“Kami mahu memberikan lebih banyak kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan dan seterusnya, membolehkan mereka menikmati pengembaraan hidup tanpa had,” katanya.
Luaran
XPANDER baru tidak pernah gagal mencetuskan kekaguman dengan penonjolan reka bentuk futuristik. XPANDER mengikuti huraian konsep reka bentul hadapan ‘Perisai Dinamik’ (Dynamic Shield), yang digabungkan di dalam setiap kereta baru yang dilancarkan oleh Mitsubishi.
‘Perisai Dinamik’ menzahirkan prestasi tinggi dan rasa dilindungi untuk penumpang dan pejalan kaki.
Dari segi estetika, XPANDER didatangkan dengan beberapa senarai kit yang mengagumkan termasuk Lampu Hadapan LED, berkedudukan blok Kristal LED dan Lampu Belakang LED iluminasi L.
XPANDER baharu juga dilengkapi rim roda aloi dua tona bersaiz 16 inci. Para pelanggan juga boleh menjelajahi tempat-tempat yang lebih mencabar kerana paras tinggi lantai kereta XPANDER adalah 205mm.
Dalaman
Di bahagian dalam, XPANDER menjadi yang terbaik di dalam kelasnya dengan keseluruhan tinggi 1,730mm dan panjang keseluruhan 4,475mm. XPANDER baharu ini memiliki jarak roda 2,775mm dan lebar 1,750mm yang menawarkan lebih banyak ruang kaki untuk semua penumpang.
XPANDER adalah satu-satunya kereta di dalam kelasnya yang boleh melipat rata kerusi bahagian kedua dan ketiga bagi memberi ruang barang yang penuh dan but menyerupai kereta yang menjadikan ia lebih mudah untuk mengangkut barangan besar atau panjang.
XPANDER juga dilengkapi banyak ruang simpanan di bawah kerusi, kotak simpanan pada lantai kargo dilengkapi lampu, poke sisi barisan duduk ketiga dan pemegang botol, kotak konsol tengah dengan lampu, pelbagai kotak barangan dan kotak glove dua bahagian untuk menyimpan segala barangan yang diperlukan untuk perjalanan hujung minggu yang sempurna.
Malahan, XPANDER juga didatangkan dengan empat corong udara dipasang menerusi bumbung bagi edaran udara lebih baik ke atas setiap penumpang yang menjamin penyejukan lebih pantas pada hari yang panas.
Untuk hiburan, XPANDER dipasang sistem Audio 9-Inci bersama Apple Carplay dan Android Auto Ready.
Keselamatan
Ciri-ciri keselamatan lain adalah dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti Penguncian (ABS), Edararan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Kawalan Aktif Stabiliti (ASC), Sistem Bantuan Brek (BA), Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Sistem Mengatasi Brek (BOS) dan banyak lagi.
Yang terakhir ialah XPANDER diperkenalkan dengan kluster meter berkontras tinggi 4.2 inci yang memaparkan maklumat penting seperti tolok suhu penyejukan enjin, dan amaran bagi kawalan luncur atau bateri lemah di dalam kunci kereta.
Pakej Pengedar Sah MMM
Bagi meningkatkan lagi nilai kenderaan, satu pakej pengedar sah MMM diperkenalkan. Ia akan merangkumi ciri-ciri seperti Pemantauan Sekeliling (ARM), Perakam Video Pemanduan (DVR) dan Sarung Kerusi Kulit.
ARM menggunakan pelbagai kamera di sekeliling kenderaan bagi mewujudkan pandangan udara 360 darjah bagi membantu pemandu semasa meletak kereta.
Sebagai tambahan kepada ketenangan semasa memandu, DVR merakam setiap detik atau insiden di hadapan kenderaan semasa bergerak.
Yang terakhir, sarung kerusi kulit berwarna hitam menambah lawa kepada reka bentuk kenderaan dan keselesaan menaiki kereta bagi pemandu dan penumpang.
Semua aksesori ini diuji dan disahkan oleh MMM supaya mematuhi kehendak peraturan tempatan di Malaysia.