Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 23 Mac 2020 telah menubuhkan satu Akaun Amanah atas nama Akaun Amanah Pembelian Alat Kelengkapan, Keperluan Perubatan, Kemudahan dan Perkhidmatan di Fasiliti Kesihatan KKM.

Ini bagi membolehkan syarikat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang ramai yang prihatin untuk menyalurkan sumbangan bagi kegunaan Barisan Hadapan semasa berlakunya wabak COVID-19.

KKM dalam kenyataan akhbar pada 29 Mei 2020 telah memaklumkan penamatan penerimaan sumbangan tunai pada 31 Mei 2020 berikutan penurunan kes positif COVID-19.

Sebanyak RM31,671,903.27 telah disumbangkan secara tunai oleh syarikat, NGO dan orang ramai ke Akaun Amanah ini. Daripada jumlah berkenaan, sehingga 30 September 2020, sebanyak RM30,597,202.81 telah dilulus untuk dibelanjakan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah di peringkat KKM dengan baki sumbangan tunai sebanyak RM1,074,700.46.

Sumbangan tunai yang diterima telah digunakan bagi tujuan membeli alat-alat kelengkapan perubatan antaranya seperti ventilator, Infra-red Thermometer, Ultrasound, katil-katil pesakit dan Patient-Monitor.

Selain itu, pembelian reagen untuk ujian COVID-19 dan penghantaran pegawai-pegawai KKM untuk bertugas di Sabah bagi membantu menangani wabak COVID-19 di negeri tersebut turut menggunakan sumbangan tunai ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Chen Chaw Min berkata, berdasarkan keadaan semasa dengan peningkatan kes positif COVID-19, terdapat banyak pertanyaan dari pelbagai pihak yang ingin membuat sumbangan tunai bagi membantu KKM menangani wabak COVID-19.

Oleh itu, KKM telah mengaktifkan semula penerimaan sumbangan tunai di bawah Akaun Amanah ini dan Kementerian Kewangan telah meluluskan kemudahan potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi sumbangan tunai ke Akaun Amanah ini.

Sehubungan dengan itu, sumbangan tunai di bawah Akaun Amanah ini boleh disalurkan melalui butiran seperti berikut:

  • Nombor Akaun: 2-66016-0002347-5
  • Bank: RHB Bank
  • Atas Nama: Sumbangan Perubatan KKM

KKM tidak melantik sebarang pihak atau ejen bagi melaksanakan kutipan sumbangan tunai atas nama Kementerian ini. Sebarang pertanyaan dan pemakluman mengenai sumbangan tunai di bawah Akaun Amanah ini, sila hubungi 03-88833111 atau melalui e-mel [email protected].

KKM merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian syarikat, NGO dan orang ramai yang telah tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan tunai kepada Kementerian ini dalam usaha menangani wabak COVID-19.