Nah kini giliran Prebiu.com, pula untuk ‘mengodam’ Galaxy Note20 Ultra 5G. Peranti ala-ala sebuah komputer peribadi dalam poket anda yang lengkap dengan ciri S Pen yang serba canggih.

Tentu sekali semua ingin tahu apa yang menarik sangat dengan Note20 Ultra ini. Secara fizikal, perkara pertama ialah saiz telefon ini lebih besar dengan skrin Dynamic AMOLED 2X iaitu 174.5mm (6.9 inci full rectangle) / 173.3mm (6.8 inci rounded corners).

Ciri kedua ialah kamera utamanya sebesar 108 megapiksel (MP) dengan sensor terbesar digunakan pada lensa sudut lebar. Sensor 12 MP dipadankan dengan lensa telefoto periskop yang memberikan kemampuan zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehingga 50X sahaja.

Sebuah sistem laser turut digunakan untuk pemfokusan lebih pantas dan ia menggantikan sensor 3D TOF tahun lalu.

Ciri ketiga pula kapasiti bateri sebesar 4500mAh dengan kemampuan pengecasan pantas iaitu mencapai tahap 50 peratus bateri pada kadar hanya 30 minit.

Secara ringkas terdapat 5 ciri penambahbaikan lain yang dilakukan pada peranti terbaharu ini.

Ciri mod gambar Single Take

Pengalaman mengambil gambar dan video dalam frame yang sama kini diperbaiki menerusi ciri kuasa-AI yang membolehkan anda mengambil sehingga 14 jenis foto dan video serentak dalam tempoh 5 hingga 15 saat.

Apa yang perlu dilakukan ialah menetapkan masa merakam pada menu kamera dan tekan butang gambar dan kamera akan terus merakam klip gambar terbaik secara automatik.

Selepas selesai, tekan semula galeri gambar untuk melihat semula hasil yang dirakam tadi.

Jadikan Personaliti Anda Menarik Dalam Mod Potrait

Mod Single Take yang dipertingkatkan dalam siri Note20 ini bukan sahaja memberi lebih masa untuk merakam tetapi membolehkan anda melakukan lebih banyak daripada hasil rakaman.

Ini kerana pilihan warna potrait kini ditambah dalam ciri Single Take sekali gus membolehkan potrait ala studio terhasil dengan memilih latarbelakang warna yang disediakan untuk menonjolkan gambar anda.

Sebagaimana ciri yang ada pada peranti S20 sebelum ini, ciri emoji memang menjadi satu tarikan kepada pengguna tegar Samsung. Malah anda juga boleh mereka cipta sendiri emoji berdasarkan kepada muka anda dan boleh melakukan suntingan video bagi tujuan berkongsi dengan ahli keluarga atau rakan.

Berkongsi Wi-Fi dengan rakan

Kita selalunya berasa kecewa apabila berkongsi semua kata laluan Wi-Fi apabila menerima tetamu dirumah. Siri Note20 ini membolehkan anda meminta maklumat akses daripada peranti berhampiran dengan rakan yang ada dalam senarai kontak anda. Rakan anda kemudian boleh berkongsi kata laluan dengan anda memudahkan anda mendaftar masuk menerusi rangkaian Wi-Fi baharu.

Mencari kualiti terbaik sambungan kepada Wi-Fi

Apabila dihubungkan dengan Wi-Fi ditempat awam, siri Note20 ini akan mencari signal paling stabil dan pantas. Apabila mencari Wi-Fi, peranti ini akan menyediakan maklumat yang diperlukan mengenai daftar masuk dan kualiti sambungan dibawah nama rangkaian berkenaan.

Berkongsi lagu kegemaran dengan rakan

Apa yang menarik pada peranti ini ialah anda boleh berkongsi lagu kegemaran terkini menerusi pengalaman Music Share yang dipertingkatkan.

Jika sebelum ini, ciri berkenaan hanya membenarkan muzik dimainkan pada peranti yang disambungkan pada telefon rakan anda tetapi anda boleh mendengar menerusi fon telinga (Buds) yang disambungkan pada telefon dan Buds yang disambungkan pada telefon rakan.

Mengawal tontonan video menerusi Bixby

Peranti ini membolehkan anda mengawal lebih banyak ciri tontonan video dengan kawalan suara Bixby. Ketika melayari rancangan kegemaran anda dari telefon pintar, anda boleh menukar kepada skrin televisyen dengan memberitahu Bixby “Mainkan rancangan ini di TV”.

Anda juga boleh menukar balik dengan memberitahu “Mainkan rancangan ini di telefon semula” dengan lancar tanpa gangguan.

Jika anda terlepas mana-mana episod atau mahu ke hadapan, kawalan suara boleh dilakukan dengan mudah dengan kuasa untuk memutar balik, maju-ke hadapan, henti dan mainkan semula. Kawalan suara juga membantu anda mencari sesuatu untuk ditontoni dengan memberitahu Bixby untuk memainkan tajuk rancangan kegemaran anda.

Mod zum 50X

Beza Note20 dan Note20 Ultra

Perbezaan di antara peranti tidak terhad pada saiz skrin semata-mata. Skrin untuk Note20 Ultra lebih berkuasa dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz sedangkan Note20 dengan skrin 6.7 inci terhad hanya sehingga 60Hz.

Selain itu skrin pada Note20 Ultra masih lagi melengkung pada bahagian sisi tetapi pada Note20 ia adalah rata. Samsung melihat skrin 120Hz yang melengkung kini hanya ditawarkan pada model premium siri Note.

Satu persamaan yang ada adalah pengimbas cap jari ultrasonik yang terbina dalam skrin pada kedua-dua peranti bagi yang masih memerlukan nyahkunci biometri.

Saiz RAM pada Note20 Ultra pula ialah 12GB berbanding 8GB untuk Note20 manakala kedua-dua memiliki storan 256GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB.

Jika Samsung S20 Ultra dilengkapi mod zum 100X, namun pada peranti Note20 Ultra ini kemampuan zum digital dikurangkan kepada 50 peratus. Mungkin ciri ini diperbaiki selepas mendapat respon daripada pengguna yang berasakan mod zum 100X menghasilkan gambar yang kurang berkualiti.

Melihat kepada ciri kamera dibelakang peranti ini dilihat terlalu besar dan tebal serta tidak rata mungkin disebabkan lensa bersaiz 108MP yang dipadankan. Berbanding Note20 saiznya sedikit kecil dan tidak terlalu tebal atau berbonggol.

Mungkin pada masa depan, Samsung boleh memperbaiki sistem tri-kamera ini khususnya saiznya yang tebal.

Isu mengenai saiz besar pada S20 Note Ultra ini adalah beratnya 208gram berbanding Note20 hanya seberat 192gram. Namun kedua-dua peranti ini selesa dipegang ditangan bagi mereka yang bertangan besar dan mungkin tidak selesa kepada golongan wanita yang bertubuh kecil.

Bercakap mengenai tangan, Samsung kali ini mengalihkan butang kuasa dan laras suara ke  sisi kanan manakala tempat simpanan S Pen pula diubah ke bawah kiri buat kali pertama sejak Samsung Note diperkenalkan di pasaran.

Tidak kira anda tangan kanan atau kidal, mencapai S Pen tidak menjadi masalah kerana bukan susah sangat pun. Semuanya ada dihujung jari dan mungkin Samsung mahu menghasilkan kelainan bagi setiap peranti baharu yang diperkenalkan di pasaran.

Kesimpulan

Dengan kapasiti bateri yang lebih besar digunakan pada tahun ini dengan sistem pengecasan lebih pantas, peranti setebal 8.3mm ini juga kalis air IP68.

Ciri S Pen yang boleh melakukan kawalan dari jauh amat berguna ketika mengambil gambar swafoto berkumpulan selain sokongan kawalan zum dan audio adalah satu kelebihan memiliki peranti ini.

Selain itu, ciri DeX yang kini boleh digunakan pada skrin yang menyokong format Miracast tanpa sebarang sambungan berwayar.

Aplikasi Samsung Note kini boleh mengimport fail PDF untuk disunting dan kemudiannya boleh disimpan dalam format Samsung Notes, Microsoft Words dan PowerPoint.

Kesemua nota-nota kini boleh disimpan di dalam folder tersendiri yang lebih tersusun dimana pengguna boleh melakukan carian semula mengikut nama folder atau tahun nota yang dihasilkan.

Jika anda seorang yang gemar melakukan suntingan video, ciri S Pen ini menjadi satu kelebihan. Malah ketika penulis sendiri melakukan suntingan video dirasakan cukup mudah berbanding menggunakan jari anda.

Bagaimanapun sedikit kelemahan pada peranti ini apabila mod gambar 108 MP digunakan kerana ia hanya menetapkan satu sudut sahaja berbanding mod lain yang boleh menggunakan sama ada sudut ultra lebar atau zum.

Jelaslah, Note20 dihasilkan untuk golongan pengguna yang khusus misalnya mereka yang gemar melakukan ilustrasi atau kerja-kerja grafik, pelukis, arkitek, penulis blog ataupun apa sahaja kerjaya yang memerlukan peranti serba praktikal ini.

Samsung Galaxy Note20 Ultra dijual pada harga RM5199. Spesifikasi yang tinggi mampu memberikan pengalaman penggunaan yang lebih dari memuaskan.