Inisiatif ini untuk memudahkan dan mempercepatkan permohonan bagi program lanjutan bantuan kewangan COVID-19 CIMB khususnya untuk pelanggan yang terjejas setelah moratorium pinjaman enam bulan tamat pada 30 September 2020

CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad akan membuka semua cawangan dan pusat pembiayaan auto di seluruh negara pada hujung minggu 19 & 20 dan 26 & 27 September 2020 bagi menawarkan program bantuan kewangan kepada pelanggan yang masih terjejas setelah moratorium pinjaman enam bulan tamat pada 30 September 2020.

Pembukaan cawangan-cawangan dan pusat pembiayaan auto pada hujung minggu tersebut di seluruh negara adalah untuk memberi bantuan serta membolehkan peminjam untuk berbincang secara bersemuka bersama pihak bank supaya dapat lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang disediakan.

Ini termasuk pelanggan yang layak untuk mendaftar ke dalam Program Bantuan Bersasar CIMB (“TAP”) dan juga para peminjam yang tidak terjejas oleh wabak COVID-19 tetapi masih memerlukan bantuan pembayaran.

Semua cawangan CIMB akan beroperasi mulai jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad di kedua-dua hujung minggu tersebut. Sementara itu, pusat pembiayaan auto CIMB juga akan dibuka dari 9 pagi hingga 1.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua hujung minggu itu bermula dari 19 September 2020.

Mulai pertengahan September, CIMB akan mengirim surat dan e-mel kepada semua peminjam yang belum menghubungi CIMB sebagai peringatan kepada mereka mengenai bayaran ansuran yang akan bermula pada bulan Oktober.

Para pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan untuk kemudahan pinjaman/pembiayaan diminta untuk mengunjungi mana-mana cawangan atau pusat pembiayaan auto CIMB dalam tempoh yang dinyatakan bagi membincangkan pilihan bantuan yang ada, termasuklah penstrukturan dan penjadualan semula (“R&R”).

Pelanggan dari perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) pula boleh melayari https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan pilihan bantuan lain yang sedia ada.

Sejak awal bulan Ogos, CIMB secara proaktif telah menghubungi 330,000 individu dan 10,000 PKS yang berkemungkinan paling terjejas oleh COVID-19.

CIMB telah pun berunding dan turut menasihati mereka untuk menghantar permohonan kepada Pihak Bank. Sejak tempoh tersebut, CIMB telah meluluskan TAP CIMB dan lain-lain bantuan kewangan sebanyak hampir RM5 bilion kepada lebih daripada 25,000 orang pelanggan.

Bagi pelanggan PKS, CIMB telah meluluskan lebih daripada RM2.5 bilion untuk Program Bantuan Bersasar CIMB, hampir RM700 juta di bawah Tabung Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (“SRF / SRF-i”) dan RM300 juta untuk kemudahan bantuan tambahan (CIMB BRF / BRF -i) oleh CIMB sendiri. Pihak Bank juga komited sepenuhnya dalam menyokong skim pembiayaan PENJANA bernilai RM1 bilion yang baru dilancarkan oleh Kerajaan untuk warga PKS.

Pihak Bank bersedia untuk membantu pelanggan dalam tempoh ini. Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi Pusat Panggilan CIMB di talian +603-6204 7788 atau e-mel [email protected] untuk berbincang secara lanjut berkenaan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh CIMB.

Pelanggan PKS pula boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di talian 1300 888 828 (Tempatan) dan +603 2297 3000 (Luar Negara) dari Isnin hingga Jumaat dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam dan Sabtu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali cuti umum).

PKS dan pelanggan korporat juga boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pembiayaan yang sedia ada.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.cimb.com.my/covid19support.