Model SUV Proton yang dinanti-nantikan sudah mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang telah siap dibina pada 2019 dengan kos RM1.2 bilion.

Pengerusi Proton, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, juga mengesahkan bahawa selaras dengan penamaan SUV Proton X70, SUV segmen-B baharu ini akan diberi nama Proton X50.

Komuniti pembekal automotif akan menerima manfaat daripada pelancaran model baharu
Proton X50 adalah kenderaan kedua yang dilancarkan hasil dari perkongsian teknologi antara Proton dan Geely.

Dibina atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang juga digunakan oleh produk Geely dan Volvo, ia juga menggunakan enjin turbo, kotak gear DCT tujuh-kelajuan dan sistem bantuan pemandu generasi baru.

Komuniti pembekal automotif Malaysia dijangka akan bermanfaat dari pengeluaran X50 di kilang Tanjung Malim dengan jumlah pembelian yang dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion setahun.

Proton X70 pula akan memerlukan pembelian komponen sebanyak RM1 bilion, bermakna jumlah pembelian tahunan kedua-dua SUV Proton ini akan mencecah RM2.8 bilion.

Dengan adanya model baharu ini, Proton menjangka ia akan mendorong kadar peningkatan jualan. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif kepada industri automotif, namun demikian, pada akhir bulan Ogos 2020, syarikat Proton merupakan satu-satunya jenama automotif yang berjaya mengatasi jualan keseluruhan berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

“Sebagai sebuah syarikat pengeluaran kenderaan tempatan, pertumbuhan jualan PROTON akan menambah perbelanjaan dalam ekosistem pembekal automotif dan secara langsung, ia juga akan menambah peluang pekerjaan.

“Ini amat penting memandangkan ekonomi Malaysia sedang mengalami pergolakan akibat kesan COVID-19,” katanya lagi.

Proton juga mengumumkan bahawa pelanggan yang ingin menempah Proton X50 boleh berbuat demikian di semua bilik pameran Proton dengan bayaran RM500 mulai 16 September, bersamaan dengan Hari Malaysia.

Sesi pratonton untuk pelanggan akan diadakan secara pintu-tertutup di empat lokasi berlainan mulai 19 September.

Selain daripada pembukaan tempahan dan sesi pratonton, Proton juga mengadakan pengundian slogan untuk SUV baharu Proton ini, di mana semua rakyat Malaysia digalakkan untuk mengundi slogan yang paling sesuai.

Maklumat terperinci boleh didapati dari laman web rasmi syarikat.