Bersedia untuk mengubah dan mendigitkan industri penjualan kereta tempatan, Auto Craver Tradings Sdn Bhd menawarkan TurboWeb, penyelesaian yang mudah dan pantas untuk mencipta tapak sesawang kepada penjual kereta di Malaysia.

TurboWeb ditawarkan sebagai pakej perkhidmatan yang termasuk butiran inventori kereta, pengurusan penyenaraian serta perkhidmatan pengehosan sesawang awan.

Pakej perkhidmatan TurboWeb ditawarkan secara langganan tahunan pada harga RM3,999 setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Auto Craver, Adham Fayumi Wan Saffiey berkata, TurboWeb memudahkan penjual kereta mengukuhkan penjenamaan dalam talian mereka dengan mempunyai galeri pada tapak sesawang masing-masing.

“Penjual boleh memanfaatkan media sosial dan platform pihak ketiga lain dengan memautkannya kembali ke tapak sesawang, mengawal jenama dengan lebih baik, menambah jumlah pelanggan dan membantu mendapatkan peluang jualan baharu secara langsung kepada perniagaan mereka,” katanya.

TurboWeb diintegrasikan dengan media sosial dan alatan pesanan supaya penjual kereta dapat menikmati pemasaran digital yang lebih bijak.

Beliau berkata, ia menjadikan pengurusan jualan kereta lebih cekap melalui tapak sesawang.

Contohnya, apabila sebuah kereta baru disenaraikan untuk jualan dalam pangkalan data penjual, ia akan serta-merta muncul pada tapak sesawang penjual. Sebaliknya, apabila sebuah kereta ditandakan sebagai terjual, sistem TurboWeb akan menurunkannya daripada tapak sesawang.

Dengan pakej perkhidmatan TurboWeb, penjual akan memperoleh tapak sesawang bebas selenggara supaya dapat menumpukan perhatian terhadap kelebihan mereka – menjual kereta.

Mengulas keadaan industri penjualan kereta tempatan, Adham Fayumi berkata, industri penjualan kereta di Malaysia semakin matang misalnya, terdapat lebih 4,000 penjual dalam sektor kereta terpakai dan terpakai import di seluruh negara.

“Kami dapati sejumlah besar daripada mereka masih terperangkap dalam cara kerja lama dan tidak berada dalam talian. Jadi, patut menjadi keutamaan bagi penjual-penjual kereta ini beralih ke dunia digital terutamanya dalam keadaan sukar yang kita alami sekarang akibat wabak COVID-19.

“Kami menggalakkan para penjual, sama ada mereka menjual kereta baharu, terpakai atau terpakai import, untuk melengkapkan perniagaan mereka dengan penyelesaian pemasaran dan perniagaan digital untuk mengukuhkan kehadiran digital dan berkembang,” katanya.

Mengenai Auto Craver

Auto Craver ialah pembangun penyelesaian teknologi pengurusan penjualan kereta yang ditubuhkan pada 2015 sebagai platform bidaan/lelongan kereta.

Auto Craver sejak 2017 telah mengubah haluan perniagaan untuk memberi tumpuan terhadap mendigitkan infrastruktur penjualan kereta. Untuk maklumat lanjut layari www.autocraver.com.