Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai laporan dimuat naik di laman media sosial Facebook seorang individu pada 28 Ogos 2020 bertajuk “Ubat cair darah Heparin Sodium BERACUN!!! Ibu-ibu mengandung sila cakna!!!” (Lampiran 1).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata,  produk Heparin Sodium Compounded dari syarikat SCA Pharmaceuticals adalah tidak berdaftar di Malaysia.

Namun begitu, laporan ini telah membangkitkan keraguan kepada pengguna akan keselamatan, kualiti dan keberkesanan produk-produk Heparin Sodium yang telah diluluskan oleh KKM untuk digunakan di Malaysia.

Produk ini penting bagi rawatan penyakit tertentu. Sehingga kini, terdapat sepuluh (10) produk Heparin Sodium yang berdaftar di Malaysia seperti yang disenarai di bawah:

Untuk makluman, benzyl alcohol digunakan dalam formulasi beberapa produk Heparin Sodium sebagai pengawet dan penggunaannya dihadkan kepada kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas di mana keperluan perlabelan produk ditetapkan sebagai ‘As this preparation contains benzyl alcohol, its use shall be avoided in children under two years of age. Not to be used in neonates’. Ini adalah sebagai langkah menjamin keselamatan penggunaan produk kepada para pesakit.

KKM, melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin.

KKM juga menggesa masyarakat untuk tidak memuat naik dan berkongsi maklumat yang tidak disahkan kerana perbuatan tidak bertanggungjawab ini akan menimbulkan keraguan di kalangan masyakat, terutamanya pesakit yang memerlukan rawatan.