AirAsia melaksanakan caj daftar masuk melalui kaunter di beberapa buah negara dan bandar terpilih berkuat kuasa pada hari ini, untuk menggalakkan penggunaan kiosk daftar masuk tanpa sentuhan dan aplikasi mudah alih yang telah dikemas kini baru-baru ini.

Setiap tetamu akan dikenakan caj sebanyak RM20 untuk penerbangan domestik dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa. Walau bagaimanapun, para tetamu tidak perlu membayar caj ini apabila mereka mendaftar masuk menggunakan laman web AirAsia.com, aplikasi mudah alih atau kiosk di lapangan terbang.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata, “Kami telah melihat respons yang amat baik bagi penggunaan perkhidmatan daftar masuk sendiri melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kiosk di lapangan terbang sejak kebelakangan ini.

Oleh itu, pelaksanaan caj daftar masuk melalui kaunter adalah cara kami untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital ini, yang menelan belanja besar, untuk menyokong dan meningkatkan kecekapan operasi dan kemudahan untuk para tetamu.

Berikutan pandemik Covid-19, kemudahan daftar masuk sendiri ini menjadi amat penting bagi mengurangkan kontak fizikal antara para tetamu dan kakitangan kami.

Dalam dua bulan lepas, beribu-ribu tetamu yang melakukan perjalanan penting telah menggunakan prosedur perjalanan tanpa sentuhan kami yang merupakan langkah keselamatan dan sekuriti tambahan untuk kesejahteraan dan keselamatan para tetamu dan kakitangan kami.

“Kami juga merupakan salah satu syarikat penerbangan pertama yang membolehkan laporan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dipaparkan di laman web AirAsia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia. Para tetamu boleh memuat naik laporan PCR mereka atau dokumen perjalanan terpilih dan mendaftar masuk sebelum tiba di lapangan terbang untuk pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar.

Kami menggalakkan semua tetamu untuk menggunakan kemudahan dan perkhidmatan daftar masuk sendiri yang tersedia, untuk membiasakan diri dengan cara perjalanan baharu.”

Pengecualian caj daftar masuk melalui kaunter akan diberikan kepada tetamu kurang mobiliti, Premium Flex atau Premium Flatbed, tetamu yang terjejas oleh gangguan penerbangan atau gangguan kiosk di lapangan terbang serta beberapa pengecualian lain. Para tetamu boleh merujuk kepada Soalan-Soalan Lazim ini untuk maklumat lanjut.

Hanya tetamu yang mendaftar masuk melalui kaunter lapangan terbang di Malaysia, Vietnam, Brunei, Kemboja, Laos, serta Taipei, Kaohsiung dan Honolulu, untuk penerbangan domestik dan antarabangsa akan dikenakan caj daftar masuk melalui kaunter sebanyak RM20 untuk penerbangan domestik dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa (atau nilai yang sama dalam mata wang tempatan, tertakluk kepada kadar pertukaran mata wang yang telah ditentukan).