Myra lancar kediaman praktikal bagi pembeli rumah golongan belia Melayu

Konsep sesebuah kediaman sentiasa berubah berdasarkan zaman dan pilihan individu. Namun, perkara yang tidak berubah apabila membeli kediaman adalah kemampuannya untuk menyediakan nilai yang boleh menambah baik kehidupan pembeli dalam aspek kemampuan, ruang, keselesaan dan gaya hidup.

Apabila aspek-aspek ini digabungkan, ia mencipta nilai bagi kediaman yang ideal – ruang yang mana keluarga moden boleh membina hidup yang selesa.

Dengan misi untuk membina kediaman praktikal yang memberikan keselesaan dan jaminan kepada pembeli rumah, pemaju hartanah Myra melancarkan pembangunan kediaman terbaharunya, Myra Vista.

Ia adalah projek pembangunan kelima di bawah jenama Myra susulan pelancaran Myra Saujana di Putrajaya, Myra Meranti di Puchong, Myra Alam di Puncak Alam dan Myra Putra di Desa Pinggiran Putra.

Terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, Myra Vista adalah perbandaran berkepadatan rendah dan pemilikan individu yang dibina di atas tanah rizab Melayu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sekitar RM48,143,000.

Ia merangkumi 89 unit rumah teres dua tingkat 20’ x 80’ dengan keluasan binaan antara 1726 – 1766 kaki persegi dan didatangkan dengan 4 bilik tidur serta 3 bilik mandi. Harga jualannya bermula daripada RM 439,000 dengan bayaran tempahan sebanyak RM500.

Myra Vista Bicycle Park

Dibina untuk memenuhi gaya hidup golongan belia Melayu, Myra Vista menerapkan semua nilai yang boleh mengubah rumah biasa menjadi sebuah sebuah kediaman yang memenuhi keperluan dan kehendak komuniti golongan berkenaan.

Selain itu, Bandar Baru Salak Tinggi terletak di tengah-tengah kawasan matang dan yang sedang berkembang seperti Kota Warisan, Nilai dan Jenderam Hilir.

Justeru, pembangunan kediaman ini menawarkan pilihan kediaman yang amat sesuai bagi mereka yang bekerja di bandar berhampiran dan dalam masa yang sama mahu mendapatkan rumah mampu milik untuk diri sendiri.

Direka untuk menghubungkan jurang yang ada dalam pasaran hartanah, Myra yakin bahawa kediaman yang ditawarkannya benar-benar menepati keperluan pembeli rumah.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran, Wendy Lim berkata, “Kami sentiasa merancang produk kami berdasarkan demografi dan kali ini, Myra Vista disasarkan kepada pasaran Melayu moden.

“Kami mengambilkira bagaimana mereka menggunakannya, keperluan mereka dan mempertimbangkan kehendak yang akan dipadankan dengan keutamaan mereka.

“Bagi kami, kesesuaian menjadi keutamaan- kami sentiasa mencari jalan untuk
menyediakan produk terbaik bagi pasaran yang disasarkan.”

Selain daripada tawaran harga yang kompetitif, Myra Vista menerapkan rekaan yang sesuai dengan gaya hidup masyarakat Melayu yang mementingkan kawasan yang luas dan selesa untuk aktiviti riadah sekeluarga.

Kediaman berkenaan juga direka dengan privasi yang optimum dan ruang luas bagi
kesejahteraan penghuninya.

Sedar bahawa sasaran pembelinya adalah mereka yang selesa meluangkan masa berkualiti dengan keluarga dan rakan-rakan, Myra Vista menyediakan sebuah ruang keluarga dengan sambungan balkoni di lot sudut dan hujung.

Ini mengundang cahaya matahari semula jadi dan pengudaraan sejuk masuk ke tingkat atas rumah dan dalam masa yang sama memberikan privasi.

Myra percaya bahawa semua orang mempunyai pilihan gaya hidup tersendiri dan di sinilah Myra Vista cemerlang dalam menawarkan fleksibiliti kepada pembeli rumah. Sebagai contoh, laman belakang seluas 279 kaki persegi boleh digunakan oleh keluarga yang ingin menikmati aktiviti santai atau melayan tetamu di luar rumah.

Bagi golongan petani bandar, laman belakang itu boleh menjadi lokasi yang ideal untuk
mereka menanam sendiri sayur-sayuran mereka. Selain itu, ia memberikan pilihan terbuka kepada pembeli rumah yang ingin membesarkan lagi ruang rumah bagi memenuhi keperluan keluarga mereka yang sentiasa berubah.

Bagi memastikan pembeli rumah dan ahli komuniti dapat menunaikan ibadat tanpa kesulitan, pembangunan kediaman berkenaan terletak hanya tiga minit daripada surau berhampiran bagi memudahkan mereka menghadiri perjumpaan agama.

Bagi mereka yang menunaikan solat di rumah, mereka tidak perlu gusar kerana setiap unit di Myra Vista dilengkapkan dengan petunjuk arah kiblat sebagai panduan.

Dengan lokasi, keluasan dan harga yang menarik, Myra Vista turut memberi penekanan kepada kepentingan gaya hidup yang sihat termasuklah dengan menikmati alam semulajadi.

Bagi menggalakkan masa berkualiti diluangkan di luar rumah, banyak usaha dijalankan dalam mencipta landskap di sekitar pembangunan berkenaan yang turut merangkumi aspek kawasan komuniti yang boleh digunakan oleh semua golongan tanpa mengira usia.

Satu ciri utama kemudahan luaran Myra Vista adalah taman basikal bagi kanak-kanak yang bukan hanya berfungsi sebagai taman permainan tetapi juga sebagai lapangan pendidikan yang mengajar mereka mengenai papan tanda jalan, etika trafik dan penggunaan jalan yang betul.

Bagi golongan dewasa, laluan berjoging akan dibina mengelilingi kawasan taman permainan berkenaan dilengkapi dengan seksyen khas untuk orang dewasa menjalankan aktiviti senaman.

Myra juga tidak sesekali berkompromi akan aspek keselamatan yang mana ia diterjemahkan dengan keutamaan pembangunan kawasan berpengawal bagi keselamatan penduduknya.

Aksesibiliti juga adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian dalam proses pembelian rumah pada masa ini. Terletak berhampiran lebuh raya utama seperti ELITE, PLUS, MEX, LEKAS dan SKVE, kawasan berkenaan menyaksikan pertumbuhan yang drastik dalam aspek penawaran aksesibiliti kepada penduduknya.