Pengerusi NGO Antarabangsa dan Penasihat NGO-NGO Malaysia, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican melahirkan rasa kebimbangan kerana ramai anak tempatan kehilangan pekerjaan dan kadar penggangguran akan meningkat pada tahun ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan berusaha mengatasi masalah tetapi bebanan itu tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata kerana setiap tahun beribu graduan menamatkan pengajian di IPTA dan IPTS.

Mustapha (kanan) bersama Azman (tengah) dan Shuib di Putrajaya, baru-baru ini.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua yang sedang mencari pekerjaan, pada masa ini kita tidak lagi boleh memilih pekerjaan tetapi berfikir bagaimana untuk kita mencari rezeki bagi menyara diri sendiri dan keluarga.

“Banyak peluang yang ada di luar sana asalkan kita berusaha mahu mencarinya secara halal dan sah daripada segi undang-undang negara serta agama.

“Jadi rebutlah peluang yang ada sama ada bekerja dengan orang atau mengusaha sendiri mengikut minat masing-masing,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi NGO Labuan, Dato Seri Shuib Nasir.

Sementara itu, Azman berkata, banyak kemudahan dibawah kementerian untuk sesiapa sahaja warga tempatan yang berminat dan mempunyai tanah yang kecil dan luas untuk diceburi pelbagai bidang seperti tanaman jangka pendek atau panjang.

Beliau berkata, begitu juga bidang perikanan dan ternakan kerana apa yang paling penting mereka berminat menunjukkan kesungguhan dan rajin berusaha, banyak insentif yang kerajaan beri seperi benih, baja, tunjuk ajar, latihan dan geran khas.

Katanya, mereka juga perlu membuktikan tanah itu dimiliki sendiri atau disewa dan usahasama mudah dilakukan dalam menyalurkan apa-apa bantuan kepada golongan ini.

Mustapha juga menyeru para lepasan atau graduan merebut peluang terbaik daripada Kerajaan yang menawarkan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan bagi membantu rakyat.

“Justeru, selepas wabak pandemik COVID-19 ini, bidang pertanian, penternakan dan industri makanan dilihat menyediakan peluang terbaik bagi mereka yang berminat.

“Jadi rebutlah peluang yang ada sedangkan orang dari luar melihat negara kita punca rezeki yang banyak jadi tidak hairanlah ramai PATI ingin memasuki Negara kita dari laut dan darat,” katanya.