Kembalinya kepimpinan beliau bakal perkukuh peranan MIMOS sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional
Pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional MIMOS, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mengumumkan pelantikan tokoh korporat Tan Sri Shahril Shamsuddin sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, efektif 18 Mei 2020.
Beliau menggantikan Datuk Wira Omar Kaseh yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya selama tiga tahun.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh 12 tahun Shahril, 58, memegang jawatan yang sama. Sebelum ini, beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi MIMOS dari 16 Januari 2005 hingga 4 Julai 2008.
Semasa penggal pentadbiran beliau terdahulu di MIMOS, agensi ini telah menganjak fokusnya daripada pembangunan perniagaan kepada aktiviti R&D bagi pengkomersialan dalam mempertingkatkan daya saing negara.
MIMOS juga telah menjadi agensi kerajaan pertama yang komited dalam menerapkan unsur integriti dan etika sebagai sebahagian daripada tadbir urus korporat dalam mentransformasi budaya R&D nasional.
Pelantikan semula ikon minyak dan gas ini mengambil kira kepakaran beliau dalam bidang pengurusan, kepimpinan korporat dan keupayaannya dalam bidang-bidang intensif teknologi.
Seorang profesional yang berpengalaman luas, Shahril adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Berhad.
Sejak 2003, beliau telah menerajui transformasi Kumpulan daripada kontraktor minyak dan gas tempatan kepada pembekal perkhidmatan dan penyelesaian industri minyak dan gas bertaraf global dengan operasi merentasi seluruh rantaian nilai industri huluan.
Di luar industri minyak dan gas, Shahril juga adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, yang menjalankan perniagaan pelbagai merangkumi teknologi komunikasi selamat, penerbangan, pengilangan automotif dan pembangunan hartanah.
Shahril memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Teknologi dari MIT Sloan School of Management, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Industri dari California Polytechnic State University, Amerika Syarikat.
Beliau telah dianugerahkan Doktor Kehormat dalam Pengurusan Teknologi oleh Universiti Teknologi Malaysia pada Mei 2013.
Beliau turut menerima beberapa anugerah termasuk Legion d’Honneur oleh Republik Perancis pada tahun 2007; Anugerah Malaysia’s Entrepreneur of the Year oleh Ernst & Young pada tahun 2009, Anugerah Man of the Year oleh The Oil & Gas Year Malaysia pada tahun 2014 dan dikurniakan Order of Rio Branco oleh kerajaan Brazil pada tahun 2019.
Kembalinya Shahril ke MIMOS dijangka akan memperkasa peranan agensi ini dalam menerajui pembangunan industri, yang meliputi aktiviti R&D termaju, usaha sama dan inkubasi teknologi serta pembinaan kapasiti dan keupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), semikonduktor dan mikroelektronik.
Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Emelia Matrahah berkata: “Pihak MIMOS menyambut baik pelantikan semula Tan Sri Shahril. Kami yakin dengan pengalaman luas dan portfolio yang pelbagai, beliau mampu memimpin MIMOS ke tahap yang lebih baik.”