PETRONAS, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat Yayasan PETRONAS dan anak syarikat PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), telah menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas makanan.

Barangan seperti beras, susu, minyak, telur, makanan dalam tin, tepung gandum dan kad minyak Mesra PETRONAS itu disalurkan kepada 900 buah keluarga yang kurang berkemampuan di Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang.

Sumbangan tersebut yang merupakan sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih PETRONAS, disampaikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri-negeri terlibat.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara, Zukifli Othman berkata: “Di samping meringankan beban golongan kurang berkemampuan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19, sumbangan ini juga diharap dapat membantu membangkitkan kegembiraan mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.”

Melalui program Sentuhan Kasih, 5,000 buah keluarga golongan kurang berkemampuan di seluruh negara menerima sumbangan bernilai RM1 juta sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai tidak lama lagi.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara, Zukifli Othman (dua dari kanan) sampai sumbangan di Pulau Pinang

Sumbangan disampaikan secara berperingkat bermula dari 4 Mei hingga 5 Jun 2020 dan dikendalikan oleh lebih 100 pengedar stesen minyak PDB bersama-sama wakil JKM serta sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan PETRONAS dan Yayasan PETRONAS.

Program Sentuhan Kasih dianjurkan sempena sambutan perayaan-perayaan utama di Malaysia sebagai saluran bagi Yayasan PETRONAS bekerjasama dengan komuniti dalam menyediakan keperluan sara hidup dan membina keyakinan diri.