Pemilik Proton X70 sedia ada ditawarkan pilihan untuk memasang sistem tersebut pada kenderaan mereka
PROTON berbesar hati memperkenalkan Sistem Pembersih Udara Pintar Proton (P-IAPS) 0yang akan dijadikan sebagai sistem standard pada setiap Proton X70 2020.
Sistem ini menggabungkan penggunaan Penapis Kabin N95 dan Sistem Pembersih Udara untuk menawarkan kaedah lebih komprehensif dalam meningkatkan kualiti udara di dalam sesebuah kereta.
Penapis kabin N95 yang baharu ini mampu menyingkirkan 95% partikel bersaiz melebihi 0.3 mikron serta turut menapis 98% debu PM2.5.
Oleh itu sistem ini berkesan menghalang kemasukan partikel asap, debu, bakteria dan bahan cemar lain yang akan menghasilkan peredaran udara yang baik dan lebih segar dalam sistem pendingin hawa.
Sistem pembersih udara sedia ada yang dipasang pada semua model X70 masih dikekalkan. Sistem tersebut menggunakan Penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang menyingkirkan 99.97% partikel yang melebihi 0.3 mikron sementara bahan karbon aktifnya pula menghilangkan bau busuk, formaldehyde serta menyerap sebarang partikel berpunca dari asap.
Selain itu juga, ion negatif pada penapis itu akan membantu membersihkan udara.
Melalui gabungan Sistem Pembersih Udara dan Penapis Kabin N95, Sistem Pembersih Udara Pintar Proton (P-IAPS) ini akan bertindak menghalang udara yang tercemar daripada memasuki kabin kereta, memberikan tahap perlindungan yang tinggi untuk menghasilkan persekitaran yang bersih dan lebih sihat.
“Proton sentiasa berusaha untuk menambahbaik produk syarikat. Langkah memperkenalkan penapis kabin N95 ini dilihat relevan dengan keadaan persekitaran ketika ini dan dengan meningkatkan kualiti udara di dalam kabin kereta, kami berharap ia dapat memberikan pengalaman yang lebih selesa tanpa pencemaran udara untuk para pelanggan kami.
“Buat masa ini, P-IAPS ini hanya akan ditawarkan pada Proton X70, akan tetapi barisan pereka dan jurutera Syarikat sedang bekerja keras untuk turut menawarkan penapis kabin N95 ini pada model-model yang lain,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Sementara penapis baharu ini dipasang pada unit-unit baharu Proton X70 2020 di Kilang Tanjung Malim, pemilik sedia ada boleh menukar dan menambahbaik penapis yang digunakan kepada Penapis Kabin N95 dengan berharga hanya RM79, tidak termasuk kos pekerja.
Lakukan temu janji bermula 13 Mei 2020 di https://www.proton.com/en/aftersales/service- booking atau hubungi mana-mana pusat servis PROTON terdekat. Program ini dijadualkan berlangsung dari 18 Mei hingga 18 Ogos 2020 di mana diskaun sebanyak 15% akan ditawarkan kepada semua pemilik Proton X70.