Syarikat motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) telah melancarkan kempen MODENAS Dominasi Impianmu yang bertujuan membantu peminat motosikal di negara ini untuk mencapai impian mereka memiliki motosikal ‘streetbikes’ mereka sendiri.
Kempen ini, yang bermula dari 2 Mei dan akan berlangsung sehingga Hari Merdeka pada 31 Ogos 2020, akan menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 kepada pembeli Modenas Dominar D400 ‘touring bike’.
Tawaran ini menjadikan ‘sport-tourer’ 400cc ini model yang paling paling mampu milik di dalam segmennya.
Modenas Dominar D400 yang seberat 182kg ini mengekstrak kuasanya daripada enjin DTS-i silinder tunggal, penyejukan cecair serta suntikan bahan api yang menghasilkan 35PS kuasa maksimum pada 8,000rpm dan tork puncak 35Nm pada 6,500rpm.
D400 ini menggunakan kaliper dwi-omboh 320mm di bahagian hadapan dan kaliper omboh tunggal 230mm di bahagian belakang. Tugas suspensi dilakukan oleh 43mm cabang teleskopik bahagian hadapan dan ‘mono chock’ boleh laras pelbagai langkah pada bahagian belakang.
Varian ini hadir dengan tiga warna dan dilengkapi dengan jaminan 2 tahun atau 20,000km atau mana-mana yang terdahulu.