Kumpulan AirAsia adalah salah satu jenama syarikat penerbangan yang cemerlang dalam mengatasi krisis Covid-19, berdasarkan kedudukan tunai, kekuatan dan nilai jenama, menurut perunding penilaian jenama bebas, BrandFinance.
Brand Finance baru-baru ini telah melancarkan laporan tahunannya mengenai jenama syarikat penerbangan paling berharga dan kuat – Brand Finance “Airlines 50” untuk tahun 2020.
AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah dari ASEAN yang disenaraikan, berikutan pertumbuhan nilai jenama sebanyak 15.5% dari tahun ke tahun yang tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di antara semua jenama syarikat penerbangan global, menjadikannya salah satu daripada 25 jenama teratas bagi syarikat penerbangan paling berharga di dunia.
Di antara 10 Jenama Terkuat dalam laporan ini, AirAsia dinilai sebagai sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai peningkatan dari tahun ke tahun tertinggi dan salah satu daripada hanya empat jenama syarikat penerbangan di dunia yang diiktiraf AAA+.
Ini berdasarkan pelaburan pemasaran, pengetahuan jenama, kesetiaan, kepuasan kakitangan dan reputasi korporat.
Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pacific, Samir Dixit berkata: “Walaupun hanya beberapa jenama yang mempunyai pertumbuhan yang positif, AirAsia membuktikan bahawa ia adalah pesaing yang kuat di antara beberapa jenama terbaik di dunia.
“Ini sudah pasti kerana ia terus konsisten dalam meningkatkan pengalaman jenama dan terus berusaha dalam membina jenamanya kepada para pelanggan dan pihak berkepentingan yang lain.
“Krisis Covid-19 yang berlaku kini mengancam semua syarikat penerbangan, dan tidak mudah untuk dikendalikan memandangkan mereka harus berjuang untuk mendapatkan kembali permintaan dan boleh kehilangan sehingga 20% nilai jenama keseluruhan,” katanya.
Satu-satunya faktor yang akan mendorong pilihan pelanggan pada masa yang sukar ini adalah jenama yang kuat dan jenama yang lemah mungkin tidak dapat bertahan dalam krisis ini.
Berdasarkan kriteria kami, AirAsia adalah salah satu daripada 30 jenama syarikat penerbangan global yang akan bertahan dalam krisis Covid-19.”
Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata: “Kami berbesar hati dengan pencapaian ini yang mengakui usaha kami untuk peningkatan berterusan dalam semua aspek di AirAsia.
“Kami akan terus mengutamakan para tetamu, dan menjadikan mereka sebagai teras bagi setiap keputusan kami untuk memastikan nilai terbaik dalam pengalaman perjalanan udara. Nilai, inovasi dan pilihan adalah tiga faktor utama jenama kami dan pencapaian ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras kami di AirAsia.”
Setelah tempoh penggantungan penerbangan berikutan pandemik wabak Covid-19, AirAsia telah menyambung semula penerbangan domestik yang dijadualkan minggu lalu bermula di Malaysia dan Thailand dengan kawalan kesihatan yang ketat dan mengamalkan protokol penjarakan sosial.
Penyambungan semula perkhidmatan akan menyusul di Filipina, Indonesia, India dan Jepun tidak lama lagi, dan diikuti oleh destinasi antarabangsa di rantau ini, apabila keadaan bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik oleh kerajaan.
Untuk salinan laporan lengkap Brand Finance Airlines 50 2020 sila klik di sini.