Pusat membeli-belah “ikonik” Selangor, Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi bakal beroperasi semula bermula 6 Mei 2020 dengan waktu operasi normal iaitu 10.00 pagi – 10.00 malam.
Ini susulan dengan Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan pengoperasian semula pusat membeli-belah dan beberapa sektor ekonomi yang lain.
Ketiga-tiga pusat membeli-belah yang dimiliki oleh (PREC) PKNS Real Estate Sdn Bhd kebiasaanya menjadi tumpuan rakyat Selangor untuk membeli-belah terutamanya ketika bulan ramadan.
Sebelum ini telah menutup hampir kesemua premis di pusat membeli-belah itu kecuali perkhidmatan penting serta membatalkan penganjuran bazar ramadan dan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.
Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi berkata pembukaan semula pusat membeli-belah PREC termasuk aset PREC yang lain telah dijadualkan pada 6 Mei 2020 untuk memberi ruang kepada proses sanitasi, pembersihan bangunan serta bagi melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Namun, pejabat pengurusan PREC dan pejabat-pejabat di semua aset PREC termasuk Menara PKNS Petaling Jaya dan Menara Worldwide telah mula beroperasi hari ini, 4 Mei 2020.
“Walaupun kami sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung bagi membantu jualan peniaga di pusat membeli-belah kami, keselamatan pengunjung lebih utama bagi pihak kami.
PREC turut memperuntukkan dua hari bagi membenarkan para penyewa di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi untuk membuat pembersihan semula kedai pada 4 & 5 Mei 2020.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PREC sudah membuat persediaan dari segi keselamatan dan kebersihan dengan merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan untuk pembukaan semula bangunan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakkan diumumkan.
Antara langkah keselamatan yang akan dipraktikkan di pusat membeli-belah PREC bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 adalah seperti berikut:
- Memperketatkan kawalan dan proses kemasukkan ke dalam premis bagi para pengunjung, kakitangan dan penyewa dengan melakukan saringan suhu dan mencatat maklumat pengunjung.
- Membuat penandaan di lantai-lantai bagi memastikan pengunjung mematuhi penjarakan sosial.
- Memastikan kakitangan kompleks, penyewa dan pengunjung mematuhi garis panduan penjarakan sosial.
- Mewajibkan pemakaian topeng mulut dan hidung sebelum memasuki premis bangunan.
- Menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dan lif-lif.
- Memberikan taklimat kepada penyewa, mengeluarkan garis panduan dan memastikan penyewa mematuhi SOP.
- Membuat proses disinfeksi tiga (3) kali sehari selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
- Tidak membenarkan makan dan minum didalam restoran sejajar dengan perintah Kerajaan Negeri Selangor.
“Kami akan turut membuat hebahan dan Public Service Announcement (PSA) di skrin digital dan media sosial bagi memberi peringatan kepada pengunjung untuk senantiasa mematuhi garis panduan keselamatan.
“Kami menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri yang memperhalusi garis panduan bagi memastikan Shah Alam bebas dari penularan wabak ini.” katanya.
Senarai penyewa yg akan beroperasi akan dimaklumkan kelak melalui media sosial Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi dan PREC.
Kebiasaanya pada bulan ramadan, pusat membeli-belah PREC meriah dengan penganjuran Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) yang sering ditunggu-tunggu pengunjung untuk membuat persiapan raya.
Suasana Ramadan kali ini amat berbeza buat PREC kerana terpaksa membatalkan FESTIRA, namun PREC telah mengambil langkah proaktif untuk membantu peniaga untuk meneruskan aktiviti jualan melalui marketplace baru iaitu Bazaarlokal (www.bazaarlokal.com).
Marketplace yang bakal dilancarkan tidak lama lagi bertujuan memberi peluang kepada mana-mana peniaga untuk menjual produk mereka tetapi terdapat nilai tambah yang disediakan oleh PREC khas utk penyewa-penyewa di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi.
Maklumat lanjut berkenaan PREC, sila layari laman sesawang (www.prec.my) dan laman sosial kami Facebook (PKNS Real Estate Sdn Bhd-PREC) dan Instagram (pknsrealestateofficial).