Anak sulung daripada 8 adik-beradik dari Kelantan ini, dilahirkan kelainan upaya tetapi beliau cemerlang di dalam akademik dan ko-kurikulum.

Mendapat 10A dalam peperiksaaan PT3 dan CGPA terkini 3.75, merupakan pelajar Tingkatan 5 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan dan selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada Disember 2017.

Faiz Alian Mohd Zamre

Dibesarkan oleh ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu restoran setelah ayahnya menghilangkan diri, keperitan hidup keluarganya turut diuji apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Julai 2015.

“Dalam hidup kita ini ada seribu satu peluang, tinggalnya hanya untuk kita usaha dan teruskan diri kita untuk mengapai peluang tersebut dan itulah akan membezakan kita daripada orang lain,” katanya yang dibiayai oleh Yayasan Peneraju sejak tahun 2013.

Beliau yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan berkata, selepas mendapat bantuan daripada Yayasan Peneraju, kehidupannya benar-benar berubah.

Faiz Alian Mohd Zamre

Kini, Faiz sedang belajar di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) mengambil kursus Bachelor of Economics.

Yayasan Peneraju ditubuhkan bermatlamat memupuk dan membangunkan bakat Bumiputera ke potensi tertinggi melalui tiga teras iaitu program pembiayaan pendidikan dan latihan: Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 30,000 penerima faedah melalui 261 program pembiayaannya dengan peruntukan sebanyak RM679.8 juta yang diterima sepanjang tempoh lapan tahun penubuhannya.

Yayasan Peneraju menyatakan komitmen untuk terus melahirkan bakat Bumiputera yang kompetitif dan bertaraf dunia khususnya dibidang ekonomi digital, kewangan Islam dan teknologi IR4.0.