Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah mengumumkan penurunan harga lebih dari 10% bagi model Modenas Pulsar RS200 dan Modenas Dominar D400 yang berkuat kuasa pada 8 Mac 2020.

Dengan harga baru ini, model Modenas Pulsar RS200 kini berharga RM9,990, iaitu pengurangan sebanyak 12% atau sebanyak RM1,360. Ini turut diikuti dengan penurunan harga bagi model ‘sport-touring’ Modenas Dominar D400 yang kini berharga pada RM13,788, iaitu penurunan sebanyak RM1,700 atau 11% lebih rendah daripada harga sebelumnya.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS menyatakan bahawa pengurangkan
dalam kos pembuatan kedua-dua model tersebut telah membawa kepada penurunan harga ini.

“Melalui penambahbaikan dalam proses pengeluaran kami, pihak MODENAS telah berjaya
mengurangkan kos pengeluaran bagi model Modenas Pulsar RS200 dan juga Modenas
Dominar D400, lantas menjadikan kedua-dua model popular ini lebih mampu milik bagi semua peminat jentera dua roda di Malaysia” katanya.

Modenas Pulsar RS200 merupakan motosikal jenis ‘full-fairing streetbike’ dan manakala,
Modenas Dominar D400 pula adalah sebuah ‘sport-tourer’. Kedua-dua model ini dilengkapi
dengan silinder tunggal, sejukkan cecair, 4-lejang SOHC serta sistem DTS-i dengan suntikan bahan api.

Kedua-dua model ini juga dildatangi dengan brek cakera tunggal berjenama ByBre yang turut dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

Kedua-dua motosikal Modenas Pulsar RS200 dan Modenas Dominar D400 turut didatangkan dengan pelbagai perkakasan premium seperti bingkai keluli perimeter serta penempatan ekzos yang amat unik, memberi kestabilan tambahan dan kawalan yang lebih kepada si penunggang.

Selain daripada pengurangan harga, MODENAS merancang untuk meningkatkan prestasi
jualan dengan memperluaskan portfolio produk dan capaiannya serta pembukaan pengedar
sah baru.

MODENAS merancang memperkenalkan lima hingga lapan buah model baharu (motosikal dan variasi) ke pasaran Malaysia dalam tahun ini.