Tahun 2020, adalah tahun yang cukup rancak bagi Samsung kerana tidak henti-henti memperkenalkan barisan telefon pintar serba baharunya.

Selepas memperkenalkan Samsung Galaxy S10, Galaxy S10e, dan S10+ pada tahun lalu, Samsung kali ini menampilkan sebuah lagi telefon pintar siri S menerusi S10 Lite menjadikannya peranti pertama dengan label ‘Lite’.

Jika dilihat pada model terdahulu, rekaan kamera belakangnya lebih memanjang dan mendatar, namun kehadiran model S10 Lite, rekaan kamera itu berubah dalam bentuk petak seakan mengikut trend model A51 atau A71 yang diperkenalkan sebelum ini.

Bagaimanapun, spesifikasi Samsung Galaxy S10 Lite dilihat lebih baik berbanding model S10 terdahulu kerana dilengkapi skrin 6.7″ Super AMOLED FHD+, dijana cip Snapragon 855, memori 6/8 GB RAM, storan 128GB, kamera utama 48+12+5 MP.

Kamera swafoto pula 32MP dan paling penting ialah kuasa bateri 4500 mAh cukup besar bagi mereka yang aktif di media sosial.

Kamera utama 48MP, memiliki ciri f/2.0 pada sudut luas 26mm bersama sokongan Super Steady OIS, fungsi baru yang dibawakan oleh Samsung manakala kamera kedua, 12 MP, f/2.2 sudut ultra lebar dan yang ketiga, kamera makro 5 MP, f/2.4.

Peranti ini dilengkapi dengan rekaan badan berupa tiga dimensi (3D) Glasstic, iaitu gabungan antara kaca dan plastik untuk menjadikannya satu bahan baharu yang seakan sebuah peranti premium sekali gus cukup mudah digengam di tangan.

Rekaan Glasstic 3D ini hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Prism Black, Prism White dan Prism Blue.

Apa yang menarik ialah sistem kamera yang digunakan menggabungkan sensor sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro. Turut diperkenalkan ialah sistem kamera Super Steady OIS yang menawarkan rakaman video dan gambar yang stabil.

Kamera hadapan juga diubah ke bahagian tengah seperti siri Note, berbanding di sebelah kanan sebelum ini (S10). Seperti model S10e, walaupun tidak menggunakan skrin melengkung, namun penawaran skrin yang dibekalkan adalah sangat baik dengan julat warna yang luas dan kontras yang tinggi.

Pada bahagian belakang, peranti itu yang dilengkapi tiga kamera sebaris menegak di sebelah kiri menjanjikan imej atau gambar yang dihasilkan cukup jelas dan jitu sekali gus menjadikan peranti ini sebuah kamera kompak serba guna tanpa perlu membeli sebuah kamera digital bercirikan profesional.

Tahap keupayaan sistem peranti ini juga tidak mengecewakan kerana dipadankan dengan cip pemprosesan Snapdragon 855, memudahkan urusan harian seperti melayari laman sesawang, media sosial, penstriman video dan sebagainya adalah cukup mudah.

Malah dengan RAM sebesar 8GB dan simpanan 128GB (boleh ditambah menggunakan MicroSD sehingga 1TB) memberikan kelebihan kepada mereka yang tegar atau memerlukan sebuah peranti untuk sesuatu tugasan yang memerlukan simpanan foto yang besar.

Berdasarkan kepada fakta yang tertera dilaman web Samsung Malaysia, spesifikasi peranti seberat 186gram ini dan bateri sebesar 4,500 mAh, peranti ini mampu bertahan selama 15 jam untuk masa penggunaan Internet (LTE) manakala sehingga 17 jika jika masa penggunaan Internet (WiFi) dan jumlah masa bercakap sehingga 47 jam.

Namun, untuk pengecasan, S10 Lite hanya disokong dengan pengecasan 25W, mengambil masa sekitar 1 jam untuk pengisian penuh dari 0%.

Antara perkara yang paling menarik perhatian adalah animasi baru yang digunapakai pada One UI 2.0 kali ini. Dengan gabungan sistem operasi Android 10, penggunaan nampak lebih lancar dan lebih menarik.

Samsung turut memperbaharui ciri ‘Device Care’ dengan mempamerkan penggunaan bateri yang lebih terperinci dan kawalan sambungan bersama peranti lain yang lebih luas.

Ciri tema gelap juga boleh menjadi pilihan pada tetapan peranti ini dan ciri One UI 2.0 kali ini juga membawakan ciri dimana anda boleh sembunyikan butang ‘back’ dan ‘home’ dengan menggunakan isyarat navigasi.

Bagi tujuan keselamatan, peranti ini dilengkapi dengan ciri pengimbas cap jari dalam skrinnya atau anda boleh menggunakan pangimbasan wajah selain ciri tradisional yang menggunakan kata laluan ‘pattern‘ untuk membuka peranti.

Kesimpulan

Pada tanda harga RM2,699, Galaxy S10 Lite ialah sebuah peranti mampu milik yang memiliki ciri kamera gred pro. Kualiti kameranya cukup baik dan berbaloi bagi mereka yang sememangnya memerlukan sebuah peranti yang mampu memberikan hasil gambar yang dikehendaki.

Dengan pelbagai ciri dan fungsi yang dimiliki pada ciri kameranya, peranti ini pastikan tidak mengecewakan jika dimiliki cuma diharapkan pada masa depan, Samsung mungkin boleh menambahbaikan ciri peranti ini seperti fungsi kalis air dan pengecasan tanpa wayar.

Meskipun hanya dipadankan dengan tiga lensa (triple) apa yang menarik perhatian penulis ialah lensa kamera yang dipadankan memberikan hasil gambar cantik dan warna yang cukup jelas.

Sistem operasinya juga mesra pengguna dan menawarkan pelbagai fungsi mengikut kehendak pengguna.