RM499 untuk penerbangan tanpa had* antara KL dan Australia, Jepun, India dan banyak lagi

Tetamu AirAsia kini boleh terbang tanpa had* selama setahun dengan Pas Tanpa Had AirAsia pada harga RM499, yang boleh dibeli di airasia.com/deals atau melalui aplikasi mudah alih AirAsia selama tujuh hari bermula 29 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, “Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah, tetapi AirAsia sentiasa dikenali sebagai peneraju utama dalam sektor penerbangan dan kami mahu mengembalikan keyakinan tetamu di sebalik sentimen ketika ini terhadap penerbangan.

Masih selamat untuk terbang selagi anda mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan nasihat perjalanan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan tempatan masing-masing.

“Memandangkan tempoh perjalanan meliputi satu tahun penuh, pemegang Pas Tanpa Had AirAsia mempunyai pilihan untuk membuat tempahan pada bila-bila masa sahaja dan boleh memilih untuk menerokai destinasi sedia ada atau kembali ke destinasi kegemaran berulang kali pada musim yang berbeza. Pilihan di tangan anda!” tambah Ben.

Menurut siaran akhbar di laman web IATA, penumpang harus diberi jaminan bahawa udara kabin ditapis, pesawat dibersihkan mengikut standard global, lapangan terbang utama telah melaksanakan pemeriksaan suhu untuk penumpang dan kakitangan serta krew penerbangan dilatih untuk berdepan dengan kes jika terdapat penumpang yang menunjukkan gejala jangkitan.

WHO belum mengeluarkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan. Pengangkutan udara memainkan peranan penting – membawa kakitangan dan bekalan perubatan ke destinasi yang diperlukan.

“Jika anda tidak sihat, jangan membuat sebarang perjalanan. Jika anda mempunyai simptom seperti selsema, pakai topeng muka dan mulut serta berjumpa dengan doktor. Dan apabila anda membuat perjalanan cuci tangan sekerap mungkin dan jangan sentuh muka anda. Pematuhan terhadap langkah-langkah mudah ini boleh membuatkan penerbangan selamat untuk semua,” kata Dr. David Powell, Penasihat Perubatan IATA.

Pas Tanpa Had AirAsia boleh dibeli oleh semua ahli AirAsia BIG di Malaysia di airasia.com/deals atau aplikasi mudah alih AirAsia dari 29 Februari 2020 (1200hrs waktu tempatan) sehingga 7 Mac 2020 (2359 waktu tempatan) sahaja.

Dijual pada harga RM499, semua pemegang pas AirAsia Unlimited digalakkan untuk membuat tempahan penerbangan tanpa had* antara Kuala Lumpur dan Australia, Jepun, India dan banyak lagi dalam tempoh masa setahun (tempoh perjalanan antara 2 Mac 2020 dan 2 Mac 2021) tertakluk kepada cukai dan yuran kerajaan, perkhidmatan tambahan dan caj lain-lain. Tempahan penerbangan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh berlepas, tertakluk pada terma dan syarat yang boleh didapati di sini.

*Tertakluk kepada terma dan syarat, baca Soalan Lazim untuk ketahui lebih lanjut.