SWM Environment Sdn. Bhd (SWM Environment) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) Negeri Sembilan berganding bahu bagi menganjurkan Program Komuniti Outreach Kitar Semula #JANGANGUNALAH.
Program itu membabitkan 60 orang peserta yang terdiri daripada kalangan murid sekolah menengah atas dan juga siswa-siswi Politeknik Nilai.

“Program Komuniti Outreach Kitar Semula adalah sebuah inisiatif yang dilaksanakan bagi peringkat Negeri melalui penganjuran program oleh syarikat konsesi SWM Environment dan agensi kerajaan iaitu SWCorp Negeri Sembilan amat disokong dan digalakkan oleh kerajaan Negeri terutamanya melibatkan penglibatan daripada institusi pendidikan sama ada di peringkat tinggi, sekolah rendah dan menengah mahupun tabika”, kata Pengurus Wilayah Melaka & Negeri Sembilan, SWM Environment Sdn Bhd, Dr Al’Ashari Othman.
Beliau berkata, program ini juga selaras dengan Dasar Kebersihan Negara yang telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada tahun lalu di mana kesedaran terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar merupakan salah satu initipati dalam pelaksanaan dasar tersebut dan adalah tidak mustahil kita dapat mencapai misi sebuah negeri terbersih di Malaysia kelak apabila perlaksanaan kempen dan strategi berada di landasan yang betul.

Program yang berlangsung di Politeknik Nilai diselitkan dengan pelbagai pengisian yang mendedahkan kepada peserta tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan juga kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian sekaligus dapat menjadikan mereka sebagai teladan kepada rakan sebaya mahupun keluarga mereka.






































