Kenaikan jualan sebanyak 20% menjadikannya pencapaian terbaik bagi Januari dalam tempoh empat tahun

PROTON membuka tirai tahun ini dengan jualan yang kukuh, meneruskan prestasi cemerlang yang dicatatkan pada 2019. Syarikat merekodkan sebanyak 8,506 pendaftaran baharu, iaitu kenaikan sebanyak 20.2% berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jumlah ini juga menunjukkan pencapaian terbaik bagi bulan Januari dalam tempoh selama empat tahun. Pegangan pasaran turut memperlihatkan pertumbuhan di mana kedudukan syarikat kini meningkat sebanyak 4.9% kepada 19.5%, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Meskipun tempoh operasi bulan Januari adalah singkat disebabkan sambutan tahun baharu cina, syarikat tetap catat jualan seperti yang dijangkakan dan terus berada di kedudukan kedua.

“Ini adalah satu permulaan yang baik bagi tahun ini selepas mencatat prestasi cemerlang pada tahun 2019. Kebiasaannya, Januari adalah bulan yang mencabar namun, kami masih berjaya menunjukkan prestasi terbaik berbanding tempoh empat tahun,” kata Ketua
Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Proton X70 turut kekal sebagai pemimpin segmen apabila mencatat pendaftaran baharu sebanyak 1,367 unit.

Saga terus menjadi tulang belakang Syarikat dengan mencatat hampir separuh daripada jumlah jualan bulanan iaitu sebanyak 3,871 unit. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 72% berbanding tempoh sama tahun lepas.

Model Persona, Iriz dan Exora juga menunjukkan prestasi yang baik. Persona catat jualan sebanyak 2,109 unit iaitu dua kali ganda berbanding 2019. Jumlah ini mewakili peningkatan 84% berbanding tempoh sama.

Selain itu, jualan Iriz berkembang hampir lima kali ganda, dengan 785 unit diserahkan kepada pelanggan, iaitu peningkatan sebanyak 465%.

“Kini sudah jelas bahawa pelanggan kini lebih memilih nilai lebih baik yang ada pada barisan produk kami terutamanya Saga, Persona, Iriz dan Exora yang dilancarkan tahun lepas.

“Kami percaya bahawa penekanan kami pada teknologi, keselamatan dan kualiti menjadi pemacu pada kenaikan jualan Syarikat,” katanya.