Program Water is Life Run 2020 Memupuk Kesedaran Terhadap Kepentingan Nilai Air Bersih

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bakal menganjurkan sebuah program Fun Run buat kali kedua dengan membawa tema Water is Life Run 2020 bersempena dengan sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac setiap tahun.

Water is Life Run 2020

“Water is Life Run 2020 akan berlangsung pada Sabtu, 11 April 2020 di Dataran Hibiscus, Anjung Floria Putrajaya bermula jam 6 pagi sehingga 10 pagi.

Program ini merupakan salah satu inisiatif SPAN dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkenaan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air serta amalan penggunaan air secara berhemat.

Setakat 2018, purata penggunaan air domestik setiap orang di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah tinggi iaitu sekitar 226 liter sehari berbanding dengan sasaran iaitu 180 liter sehari pada 2020. Tambahan pula, sumber bekalan air buat pengguna adalah sebahagian besar daripada sungai iaitu sebanyak 82 peratus.

Dengan slogan, “Bergembira bersama! Gunalah air secara berhemat!”, SPAN berharap dengan larian ini, ia akan dapat membina kesedaran peserta terhadap kepentingan memelihara dan memulihara sumber air serta menggunakan air secara berhemat.

Di samping itu, larian sebegini juga dapat membentuk masyarakat yang sihat fizikal, mental dan emosi sekali gus menggalakkan komuniti untuk berhubung terus dan beramah mesra secara sosial dengan kakitangan-kakitangan SPAN dan agensi terlibat.

Acara larian ini terbuka kepada orang ramai dalam dua jenis kategori  iaitu 5 kilometer dan 10 kilometer dengan menyasarkan penyertaan seramai 2000 orang. Logo dan pingat direka khas bagi melambangkan SPAN sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air negara.

Pendaftaran untuk menyertai acara ini boleh didapati menerusi pautan https://www.heyjom.com/events/details/531/water-is-life-run-2020. Tiket untuk larian ini masih lagi dijual dan boleh dibeli pada harga RM45 untuk kategori 5 kilometer dan RM60 bagi kategori 10 kilometer.