Pengeluar gula terkemuka Malaysia, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mengumumkan pembelian gula mentah daripada India, salah sebuah negara pengeluar gula terbesar di dunia bagi memenuhi keperluan suku pertama 2020.
Gula mentah yang dianggarkan berjumlah 130,000 tan bernilai hampir RM200 juta dijangka tiba melalui tiga penghantaran sekitar bulan Januari dan Februari.
“Pada tahun 2019, lebih 900,000 tan gula mentah telah diimport dari pelbagai negara
pengeluar terbesar termasuk India. Kami akan terus mengimport gula mentah daripada negara-negara pengeluar terbesar seperti India, Brazil, Thailand dan yang lain di samping memastikan kos gula mentah tersebut adalah konsisten dengan NY#11 serta memilih pembekal gula mentah kami dengan teliti bagi menghasilkan produk gula yang berkualiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dato’ Khairil Anuar Aziz.
India, Brazil dan Thailand adalah merupakan negara-negara pengeluar gula terbesar di dunia. Pengeluaran gula mentah India dilaporkan akan berkurangan untuk TK19/20 berikutan cuaca kering.
Walaubagaimanapun, untuk TK20/21, pengeluaran India dijangka pulih berikutan
kekerapan hujan di Maharashtra. Sementara itu, pengeluaran di Brazil pula diramalkan stabil.
Bagaimanapun, pengilang-pengilang lebih berminat dalam pengeluaran ethanol
memandangkan harga lebih memberangsangkan. Di Thailand, pengeluaran bagi TK19/20 telah berkurang disebabkan kitaran hujan yang sangat kurang di kawasan tanaman utama.
Di samping kos penghantaran yang kompetitif, gula mentah yang dikeluarkan dari India turut mempunyai kualiti yang setara.
Ini telah memberikan nilai tambah dan kelebihan pada MSM dalam memastikan kemampanan bekalan gula mentah yang berkualiti tinggi untuk kilang-kilang penapisan serta pemantauan perolehan gula mentah yang lebih efisyen sebagai strategi penambahbaikan operasi dan penjimatan, sekaligus meningkatkan kecemerlangan operasi.
Melangkah ke hadapan, MSM telah bersiap sedia untuk meneruskan perniagaan yang lebih mampan untuk jangka masa panjang di samping kekal kompetitif dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
MSM juga komited dalam melaksanakan pelan pertumbuhan strategik untuk disiplin dalam perbelanjaan dan mendefinisi semula perniagaan melalui pembangunan produk-produk baru, peningkatan kecekapan operasi dan pengurangan kos penapisan, serta proses perolehan gula mentah yang lebih efektif.