Perodua akan memperkenalkan Perodua Bezza 2020 – versi terbaharu sedan popularnya yang menawarkan rekaan bijak, pemanduan bijak dan keselamatan bijak sempena kedatangan tahun baharu.
Dibangunkan berdasarkan maklum balas pelanggan, Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 V AV, berharga dari RM34,580 hingga RM49,980 (harga atas jalan sebelum insuran di Semenanjung Malaysia).
Perodua kini menerima tempahan untuk Perodua Bezza 2020 melalui kesemua 186 pusat jualannya di seluruh negara.
“Perodua Bezza merupakan sedan pertama kami dan juga sedan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia, dengan upper-body yang direka sepenuhnya oleh kami.
“Ia terbukti popular di kalangan rakyat Malaysia, dengan jualan 184,000 unit sejak pelancarannya pada Julai 2016,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Perodua Bezza menawarkan kecekapan bahan api, kualiti, praktikaliti, kos pemilikan rendah dan ruang dalaman yang luas di samping boleh dipercayai dan mudah dipandu – semua dalam satu pakej yang kompak dan menarik – menjadikannya kenderaan yang menepati citarasa dan diminati ramai,” katanya.
Perodua Bezza 2020 tampil dengan gril hadapan dan bampar baharu, juga lampu hadapan LED dan skirt sisi dwi-tona yang kedua-duanya terdapat pada semua varian.
Varian X dan AV dilengkapi dengan rim aloi 15 inci manakala cermin sisi berkuasa boleh laras kini terdapat pada semua varian (boleh lipat pada AV).
Dua warna luaran baharu bagi Bezza – Garnet Red (bagi varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey – menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.
Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 2.0 kini memasuki barisan Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.
ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.
Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV. Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan, terdapat pada varian X dan AV.
Semua varian didatangkan dengan sensor undur; varian AV turut menambah kamera undur.
“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, kami sentiasa mendengar pendapat para pelanggan kami yang dihargai untuk mengetahui bagaimana kami boleh menambah baik produk dan perkhidmatan kami – Perodua Bezza 2020 adalah antara hasilnya.
“Kami berharap penambahbaikan yang telah kami lakukan boleh bergabung dengan kelebihan-kelebihan yang sedia ada termasuk ruang bagasi seluas 508 liter dan kecekapan bahan api sehingga 22 km/l untuk memberikan pengalaman permotoran yang anda inginkan selama ini,” katanya.
“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara, di mana penasihat jualan kami yang sah sedia membantu dan memberikan maklumat lanjut kepada anda mengenai Perodua Bezza 2020, yang akan tiba di bilik pameran tidak lama lagi!” katanya.
Perodua Bezza 2020 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).
*ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan pengganti pemanduan selamat. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu.